Pelakon filem Prebet Lapok, Tawil meninggal dunia
Astro Awani
Julai 23, 2021 14:14 MYT
Julai 23, 2021 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon filem Prebet Lapok, Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Tawil, 69, meninggal dunia di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Kepong, di sini pada jam 2.15 pagi tadi.
Berita pemergian pelakon veteran itu disahkan anaknya yang juga Penerbit Promo Program Astro AWANI, Mohammad Firdaus Abu Bakar pada Jumaat.
Menurutnya, dia mendapat panggilan daripada ibunya memaklumkan ayahnya menghadapi kesukaran bernafas pada jam 1.15 pagi tadi dan terus menghubungi ambulans.
Begitupun, ketika ambulans tiba, pegawai perubatan mengesahkan bapanya sudah menghembuskan nafas terakhir.
“Kali terakhir kami jumpa masa bulan puasa dulu sebelum sekatan pergerakan penuh. Sebelum itu sempat juga jumpa tapi bila tak boleh rentas negeri, kita hanya buat panggilan video.
“Kali ini pun dapat jumpa tapi sudah tiada, sudah meninggal dunia. Waktu COVID-19 ini, memang macam-macam cabarannya,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, ketika kali terakhir buat panggilan video pada minggu lepas, arwah kelihatan ceria dan bergurau seperti biasa dengannya.
“Kami semua masih lagi dalam percaya atau tidak percaya, masih terkejut. Sedih tapi terkejut dan kami bersyukur kerana arwah pergi pada hari yang mulia, hari Jumaat,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, selepas ini dia pastinya akan merindukan gurauan daripada bapanya itu yang sejak dari dulu selalu berseloroh dengan sesiapa sahaja.
“Saya akan rindu dia punya seloroh. Dia dengan semua orang akan berseloroh, berbual.
“Arwah memang tak kedekut ilmu, tak sombong dan suka buat kawan. Dia kawan saja dengan semua orang,” katanya.
Jenazah disempurnakan di Masjid Abu Hurairah Kg Batu, Jalan Ipoh, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 5, Jalan Ipoh, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Tahun lalu, arwah Tawil antara 25 penggiat seni menerima surat tawaran unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk golongan veteran.
Unit kediaman didudukinya dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan bayaran RM35,000, sebelum arwah dan isteri berpindah pada Mac lalu.
Arwah bukan hanya dikenali sebagai pelawak pentas malah banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.
Namanya mula masyhur menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan gandingannya bersama bintang utamanya, AR Badul menjadi sebutan ramai.
Filem tersebut merupakan penampilan pertama arwah menerusi layar perak pada usia 29 tahun, selepas hampir lapan tahun bergiat aktif dalam dunia pementasan teater dan bangsawan.
Selain itu, arwah turut membintangi filem-filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak lagi.
Sepanjang kariernya, arwah Tawil membintangi kira-kira 500 drama, filem, teater dan bangsawan sejak usia 19 tahun.