Pelakon Fetty Dzul meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19

Eton Khir
November 18, 2021 15:47 MYT
Pelakon veteran, Fetty Dzul meninggal dunia selepas bertarung dengan COVID-19 tahap lima di Hospital Selayang jam 7.30 pagi Khamis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Fetty Dzul meninggal dunia selepas bertarung dengan COVID-19 tahap lima di Hospital Selayang jam 7.30 pagi Khamis.
Berita pemergian Fetty Dzul atau nama penuhnya, Fatimah Abd Rahim disampaikan anaknya, Isma Alif atau lebih mesra dipanggil Ijat oleh pelakon veteran itu.
Allahyarham Fetty dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak 7 November lalu.
"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Semoga Allah S.W.T mengampuni arwah Mamy dan mengurniakan Jannatul Firdaus kepadanya. Aamin!
"Terima kasih di atas semua ingatan yang ikhlas dan doa yang baik-baik terhadap arwah Mamy.
"Kami sekeluarga bagi pihak Mamy ingin memohon maaf sekiranya arwah ada salah silap sepanjang perkenalan dengan semua. Minta halalkan makan minum dan perbuatan serta tutur kata arwah Mamy Fetty Dzul. Dia sayang semua orang.," kata anaknya menerusi mesej kepada Isma Alif.
Keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak malam tadi apabila buah pinggang dan paru-parunya gagal berfungsi.
Keluarganya turut mengadakan majlis bacaan Yasin malam tadi yang disertai rakan-rakan penggiat seni.
Sebelum ini, menerusi Instagram Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) pada 9 November lalu, Fetty dimaklumkan sedang kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan ketika berada dalam Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang.
Sepanjang pembabitan Allahyarham dalam arena seni, namanya begitu dikenali peminat kerana banyak membintangi pelbagai drama dan wajahnya sering menghiasi akhbar dan majalah pada era 1970-an dan 1980-an.
Selain itu, sebelum ini Fetty sering tampil memegang karakter antagonis dalam drama atau filem serta merupakan antara pelakon terawal yang terbabit dengan siri drama kepolisan terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Remang-Remang Kota Raya, Harimau Rimba dan Debu-Debu Kota sekitar tahun 1980-an.
Fetty kemudiannya meninggalkan Malaysia selama empat tahun pada awal 1990-an kerana mengikut Allahyarham suaminya bertugas di Amerika Syarikat.
#Fetty Dzul meninggal dunia akibat COVID-19 #Hospital Selayang #Fatimah Abd Rahim
;