Pelakon era 90-an, Roslan Hussin meninggal dunia

Astro Awani
Februari 4, 2019 23:56 MYT
Allahyarham mengadu sesak nafas ketika memandu kereta dan sempat memberhentikan kenderaannya sebelum meminta bantuan orang awam untuk membawanya ke hospital. - Gambar fail
Pelakon era 1990-an, Roslan Hussin, 54 tahun, meninggal dunia akibat serangan jantung petang Isnin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), lapor BH Online.
Allahyarham yang juga seorang pengarah drama mengadu sesak nafas ketika memandu kereta dan sempat memberhentikan kenderaannya sebelum meminta bantuan orang awam untuk membawanya ke hospital.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.
Harian Metro melaporkan, anak Allahyarham, Siti Nurul Ain Emelia, 19 mengesahkan berita tersebut.
“Kami masih terkejut dengan kehilangan ini. Ayah sudah lama sakit jantung,” katanya seperti laporkan Harian Metro.
Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikapankan di Surau Al Husna, Setapak, esok, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9 pagi.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan mengalami masalah kesihatan termasuk lemah jantung, semput, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
Selain berlakon drama, Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Layar Lara.
#jantung #Malaysia #meninggal dunia #pelakon #roslan hussin #semput
;