Pelakon Empat Sekawan Hon Yit Sin meninggal dunia pada usia 95 tahun
Astro Awani
September 5, 2022 17:45 MYT
September 5, 2022 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sekitar tahun 1960-an, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah memasyhurkan sitkom tempatan Empat Sekawan yang menggunakan beberapa dialek seperti Mandarin, Hakka, Hokkien dan Kantonis.
Empat Sekawan pernah bersiaran selama dua dekad dan sitkom itu juga memperkenalkan kita kepada ramai bintang popular antaranya, Datuk Lai Meng dan Hon Yit Sin.
Kedua-dua pelakon itu sangat terkenal dalam kalangan penggemar sitkom berkenaan.
Semalam, Yit Sin dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 95 tahun semalam (4 September).
Mendiang Yit Sin dijemput ke negeri abadi menyusuli rakannya, Lai Meng yang meninggal dunia pada Mei 2018.
Menurut cucu mendiang, Bill Lai, neneknya meninggal dunia di kediaman keluarga di Raub, Pahang.
“Dia pergi dalam keadaan tenang ketika tidur. Dia memang tidak berapa sihat kerana berdepan masalah darah tinggi dan serangan strok ringan beberapa tahun lalu,” kata Bill Lai kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Difahamkan, kesihatan Yit Sin semakin merosot sejak akhir tahun lalu tetapi masih boleh melakukan pergerakan.
Mendiang Yit Sin memulakan karier dalam gelanggang seni tanah air sekitar 1960-an dengan menubuhkan Getai Group bersama Kwai Yoon dan dua lagi anggota lain.
Populariti Getai Group meningkat selepas muncul dengan album berkonsepkan humor, ‘Tofu Song’.
Yit Sin kemudian beralih ke program drama di stesen radio RTM dan mencuri perhatian pendengar dengan Empat Sekawan.
Bill Lai berkata, mayat neneknya kini ditempatkan di Taman Peringatan Nirvana, Sungai Besi, di sini, bagi memberi peluang kepada kaum keluarga dan kenalan mendiang memberikan penghormatan tetakhir.
Sementara, upacara pengebumian mendiang Yit Sin akan diadakan pada Rabu ini (7 September).