Pelakon Dira Abu Zahar bernikah dengan ahli perniagaan
Astro Awani
Jun 21, 2020 14:57 MYT
Jun 21, 2020 14:57 MYT
Pelakon yang juga ahli politik, Dira Abu Zahar menoktahkan statusnya sebagai ibu tunggal dengan menikahi ahli perniagaan, Syfik Izdzywan Sidek pada Ahad.
Dira atau nama sebenarnya, Khaidhiriah, 36, disatukan dengan Syfik, 46, yang juga seorang ahli perniagaan dalam majlis akad nikah di Masjid Al Azim, Melaka sekitar pukul 10.30 pagi.
Dalam majlis itu, Dira menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 beserta tiga dulang hantaran berbalas lima.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan sepakat merahsiakan jumlah hantaran.
Dira yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengenali suaminya itu sejak setahun lalu.
“Fasa baharu dalam hidup saya kini bermula. Alhamdulillah majlis berlangsung secara ringkas, tertutup dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Lebih istimewa abang saya, Muhd Idi Iskandar yang menikahkan kami,” katanya yang sangat bersyukur kerana majlis pernikahannya kali ini berjalan lancar.
Kata Dira, beliau tidak pernah sama sekali terfikir akan kembali bergelar isteri orang selepas pernah melalui kehancuran dalam rumah tangga sebelum ini.
“Namun Allah SWT bagi rezeki dan peluang lagi. InsyaAllah saya akan berusaha untuk menjadi yang terbaik kali ini.
“Anak juga menerima baik kehadiran suami. Keluarga saya juga bertambah besar dengan kehadiran tiga anak lelakinya,” katanya
Dua perkahwinan Dira sebelum ini berakhir dengan perpisahan
Menerusi perkahwinan pertama, Dira dikurniakan seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra.
Sementara menerusi perkahwinan kedua, Dira tidak dikurniakan anak, namun mengambil anak angkat, Waris Iskandar Andiqa.
#Allah
#anak
#Dira Abu Zahar
#kahwin
#keluarga
#majlis tertinggi
#Malaysia Airlines
#Melaka
#operasi
#perkahwinan
#politik
#rumah
#SOP
#UMNO