Pelakon Datuk Eizlan Yusof sah cerai talak satu
Astro Awani
Februari 17, 2015 13:42 MYT
Februari 17, 2015 13:42 MYT
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam mengesahkan pelakon filem Pisau Cukur, Datuk Eizlan Yusof dan isterinya, Datin Vie Santie Harun cerai talak satu.
Mahkamah mendapati lafaz yang diucapkan oleh Eizlan terhadap Vie Santie pada 28 September tahun lalu adalah sah dan mengikut syarak, lapor Harian Metro.
Mahkamah juga merekodkan perjanjian persetujuan bersama pasangannya itu antaranya nafkah edah diserahkan pada budi bicara Eizlan dan Vie Santie tidak akan menuntut mutaah.
Hak penjagaan anak diserahkan kepada Vie Santie namun Eizlan diberi hak bersama dan bermalam dengan tiga anak mereka pada bila-bila masa yang munasabah seperti dipersetujui pasangan itu.
Vie Santie memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata Vie Zaara, Zareef Yusof dan V Zaalia yang berusia antara dua hingga enam tahun.