Pelakon dan model didenda RM800 kerana cederakan eksekutif
Bernama
Jun 20, 2016 21:58 MYT
Jun 20, 2016 21:58 MYT
Model dan pelakon filem Tanda Putera, Ahya Ulumuddin Rosli yang lebih dikenali dengan nama 'Ahya U Rosli' didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang eksekutif.
Ahya, 29, didakwa mencederakan Mohamad Asrul Affendi Roseli, 31, dengan menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan kecederaan pada kening sebelah kanan, pecah bibir serta bengkak di muka sebelah kanan.
Dia yang merupakan anak pelakon Normah Damanhuri, yang juga hadir ke mahkamah, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta gelanggang futsal Sentral Mark, Setapak, di sini pada 11.30 malam, 14 Jun lepas.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid juga mengarahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda kemudiannya.
Dalam rayuannya, Ahya yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh merayu hukuman denda yang minimum atas alasan tertuduh tidak dapat mengawal emosi ketika sedang marah.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan itu mengambil kira faktor kekerapan kesalahan tersebut dan keselamatan awam.
Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu tiba di tempat letak kereta telah didatangi oleh tertuduh yang kemudiannya bertindak menumbuk muka mangsa disyaki menggunakan objek keras.