Pelakon Bollywood Irrfan Khan meninggal dunia

Asyraf Roslan
April 29, 2020 16:10 MYT
Irrfan Khan menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun.
BINTANG filem ternama Bollywood, Irrfan Khan yang popular dengan filem New York, I Love You meninggal dunia pada usia 53 tahun pada Rabu.
Seniman masyhur India itu sebelum itu dimasukkan ke unit rawatan intensif di hospital Kokilaben, Mumbai pada Selasa kerana jangkitan pada usus besar.
Beliau disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan intensif di hospital tersebut.
Menurut laporan media antarabangsa, Irrfan didiagnosis menghidap tumor neuroendokrin dan menerima rawatan di United Kingdom.
Jurucakap beliau memuji semangat pelakon tersebut yang kuat dalam melawan penyakit kansernya itu.
Selain menempa kemasyhuran di India, beliau juga mencipta nama di layar perak antarabangsa menerusi filem Jurassic World, Slumdog Millionaire, Life Of Pi dan The Amazing Spider-Man.
Irrfan meninggalkan seorang isteri Sutapa Sikder dan dua orang anak Babil dan Ayan.
Dua tahun lalu, beliau mengejutkan peminatnya dengan membuat pengumuman berhubung penderitaan yang dialaminya.
Irrfan berkata, dia didiagnos menghidap tumor neuroendokrin iaitu penyakit yang menjejaskan sistem pesanan hormon tubuh dan kajian mendapati ia hanya dihidapi 35 orang dalam 100,000 orang.

"Mengetahui bahawa saya disahkan mengalami tumor neuroendokrin adalah sesuatu yang cukup sukar, tetapi kasih sayang dan kekuatan insan-insan di sekeliling saya memberikan saya harapan," ujarnya semasa berkongsi berita itu di laman Twitter.

#Bollywood #Hospital #Irrfan Khan #Media #meninggal dunia #Mumbai
;