Pelakon asal 'Mak Lampir', Farida Pasha meninggal dunia akibat COVID-19
Astro Awani
Januari 18, 2021 20:12 MYT
Januari 18, 2021 20:12 MYT
INDUSTRI perfileman Indonesia dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran, Farida Pasha selepas dia dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak COVID-19, pada Sabtu.
Memetik laporan CNN Indonesia, berita duka mengenai kematian Farida, 68, yang popular dengan watak Mak Lampir dikongsi oleh cucunya, Ify Alkyssa menerusi kemas kini di Instagram Story.
“Assalamualaikum. Telah kembali ke Rahmatullah ibunda atau nenek kami, Hajjah Farida Pasha binti Ali Husen pada 16 Januari 2021 pada jam 7.35 malam (waktu tempatan),” demikian katanya dalam entri tersebut, pada Ahad.
Laporan tersebut itu menambah, Ify turut memohon kepada semua pihak agar menitipkan doa buat Allahyarham neneknya.
"Terima kasih atas segala bentuk perhatian, dukungan, dan doa yang telah disampaikan selama beliau (nenek) sakit hingga saat terakhirnya," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Farida dilahirkan di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia pada 21 Ogos 1952.
Allahyarham membintangi lebih 50 filem dan namanya mula meningkat naik selepas membintangi filem Guna-Guna Istri Muda bersama aktor Roy Marten dan Rina Hashim.
Kali terakhir Allahyarham Farida muncul di layar perak adalah dalam filem The Secret Suster Ngesot Urban pada 2018.
Allahyarham memegang watak Mak Lampir menerusi sinetron bersiri, Misteri Gunung Merapi yang ditayangkan selama tujuh tahun.
#COVID-19
#Farida Pasha
#Watak Mak Lampir
#hiburan
#Guna-Guna Istri Muda
#Roy Marten
#Rina Hasim
#The Secret Suster Ngesot Urban