Pelakon Alec Baldwin ucap terima kasih kepada penyokong selepas tuduhan digugurkan

Bernama
Julai 14, 2024 14:15 MYT
Pelakon Amerika Syarikat (AS) Alec Baldwin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokongnya selepas kes pembunuhan tanpa niat terhadapnya digugurkan oleh seorang hakim di New Mexico. - Gambar fail/AP
LONDON: Pelakon Amerika Syarikat (AS) Alec Baldwin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokongnya selepas kes pembunuhan tanpa niat terhadapnya digugurkan oleh seorang hakim di New Mexico, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hakim Mary Marlowe Sommer memutuskan pada Jumaat bahawa tuduhan pembunuhan tanpa niat terhadap Baldwin berhubung dengan kejadian tembakan yang mengorbankan sinematografer Halyna Hutchins di set penggambaran filem Rust harus digugurkan.
Beliau menggugurkan kes itu dengan prejudis berdasarkan salah laku pihak polis dan pendakwa raya yang tidak menyerahkan bukti peluru kepada pihak pembelaan.
Selepas keputusan itu, Baldwin menangis dan memeluk isterinya, Hilaria.
Pelakon berusia 66 tahun itu, yang terkenal dengan sitkom 30 Rock dan rancangan sketsa AS, Saturday Night Live, berdepan hukuman penjara 18 bulan jika disabitkan kesalahan.
Pada Sabtu, Baldwin dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram: "Terlalu ramai yang telah menyokong saya untuk saya ucap terima kasih sekarang.
"Kepada anda semua, anda tidak akan tahu betapa saya menghargai kebaikan anda terhadap keluarga saya."
Pelakon itu turut berkongsi sekeping gambar beliau menonton prosiding mahkamah bersama kenyataan tersebut.
Pelakon Marvel, Jeremy Renner adalah antara mereka yang memberi mesej sokongan kepada Baldwin, menulis: "Semoga anda diberkati, tuan."
Bintang pentas dan skrin, Sir Anthony Hopkins, turut memberi komen dengan emoji hati, manakala pelakon Titanic, Frances Fisher berkata: "Apa pun yang berlaku seterusnya, kami berada di sisi anda, Alec."
Pengurus senjata filem itu, Hannah Gutierrez-Reed, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas sabitan pembunuhan tanpa niat awal tahun ini bagi kematian Hutchins, yang kini sedang merayu terhadap hukuman itu.
-- BERNAMA
#Alec Baldwin #ucap terima kasih #tuduhan digugurkan #kes pembunuhan tanpa niat