Pekerti Aiman Tino tunai impian peminat hilang anggota di Brunei dapat pujian
Kohilah Sekaran
April 27, 2017 15:15 MYT
April 27, 2017 15:15 MYT
Penyanyi popular remaja, Aiman Tino mendapat pujian apabila menunaikan impian seorang peminatnya, Nadzri Muhammad Farid Siet dan ibunya, Pengiran Haslinda Pangiran Haji Tuah, 51, yang kehilangan anggota kakinya baru-baru ini.
Menerusi satu catatan yang dihantar ke Astro AWANI, Nadzri warga Malaysia yang kini menetap di Brunei bersama ibunya memaklumkan bagaimana Aiman menjalinkan hubungan yang baik bersama para peminat termasuk ibunya sepanjang percutiannya di negara itu baru-baru ini.
Kesempatan itu juga diambil Aiman untuk mengadakan sesi temu bual bersama peminat di sebuah hotel pada 20 April lalu.
Menurut Nadzri, sebelum ini sememangnya dia dan ibunya ingin bertemu dengan penyanyi berusia 18 tahun itu, tetapi pada hari itu hanya dia yang dapat menghadiri sesi temu bual tersebut kerana ibunya baru sahaja kehilangan kedua-dua anggota kakinya akibat penyakit kencing manis.
“Oleh kerana ibu saya tidak dapat berjumpa dengan Aiman kerana takut ramai akan hadir, memandangkan dia menggunakan kerusi roda dan baru sahaja menjalani pembedahan.
“Saya memaklumkan perkara itu kepada Aiman dan keluarganya yang ibu saya ingin berjumpa dengannya. Saya juga meminta dia merakam sebuah video untuk ibu saya sebagai tanda sokongan, dan Aiman tidak menolak permintaan saya,” kata Nadzri.
Tambah Nadzri, apa yang mengejutkan dia ialah, mereka dihubungi pada keesokan hari oleh salah seorang wakil Aiman dan memaklumkan bahawa Nadzri dan keluarganya boleh bertemu Aiman Tino di sebuah hotel pada malam itu.
“Saya pun kemudian bawa ibu untuk berjumpa dengan Aiman serta keluarganya.
“Tersebak dan menangis melihat Aiman begitu baik kepada kami dan tidak memandang dirinya sebagai seorang artis tetapi menunjukkan bahawa dirinya adalah seorang manusia yang sangat bersopan santun kepada orang tua.”
Kata Nadzri lagi, Aiman sendiri sempat berpesan kepada dia dan ibunya sekiranya mereka pulang ke Kuala Lumpur untuk menghubunginya.
Justeru katanya dia sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Aiman yang merendah diri dan menunaikan hasrat ibunya.