Pejuang irama Malaysia Pak Ngah meninggal dunia
Astro Awani
September 25, 2018 16:09 MYT
September 25, 2018 16:09 MYT
Pejuang lagu irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ngah, meninggal dunia di Batam, Indonesia pada pukul 3.02 petang tadi.
Mengesahkan berita duka itu, penyanyi terkenal Noraniza Idris berkata beliau dimaklumkan mengenai pemergian Pak Ngah menerusi anak komposer itu.
Penyanyi yang popular dengan lagu "Cindai", Datuk Seri Siti Nurhaliza berasa sedih di atas pemergian komposer lagu tersebut menyifatkan pemergian Pak Ngah satu kehilangan besar kepada industri muzik khususnya karya-karya irama etnik tradisional.
”Karya beliau akan terus hidup meskipun setelah ketiadaannya.
"Kenangan, gurau senda dan didikan Pak Ngah akan terus dalam ingatan kerana selain Allahyarham Adnan Abu Hasan, beliau adalah antara individu yang pertama menjalinkan kerjasama untuk Siti membawakan lagu-lagu irama tradisional.”
Antara lagu popular ciptaan Pak Ngah nyanyian Siti Nurhaliza termasuk "Ya Maulai", "Balqis", "Hati Kama" dan "Badarsila".
Konsert solo pertama Siti Nurhaliza di Stadium Putra Bukit Jalil merupakan arahan Pak Ngah dan kali terakhir penyanyi itu bekerjasama adalah sewaktu menyanyikan lagu Hari Raya, 'Hari Kemenangan' dua tahun lalu.
Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dilahirkan pada 26 September 1958 di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Merupakan anak kedua dan anak lelaki tunggal dalam keluarga dari lima beradik serta memiliki perwatakan yang kelakar dan bersahaja.
Setelah tamat peperiksaan MCE ketika itu, Pak Ngah telah ditawarkan sebagai pemuzik sepenuh masa di Kompleks Budaya Negara (KBN) sekitar tahun 1977 iaitu ketika berumur 19 tahun.
Semasa di KBN, beliau mengambil peluang untuk mempelajari seni muzik dengan lebih mendalam. Ketika inilah beliau mengambil peluang untuk menyertai pelbagai kelas muzik tradisional.
Kelas yang ditawarkan adalah antara lain kelas gamelan, kelas muzik keroncong, kelas teori muzik, kelas muzik ghazal dan sebagainya. Berpeluang untuk mempelajari muzik ghazal dan bermain gambus daripada pemain gambus terkenal Malaysia iaitu Fadhil Ahmad.
Merintis jalan dari KBN, Pak Ngah mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dengan mengikuti banyak kursus dan seminar muzik dari dalam dan luar negara sehinggalah berkeyakinan untuk menubuhkan syarikat miliknya sendiri.
Pak Ngah Production Sdn. Bhd. yang terletak di Setapak telah mula beroperasi sejak 26 Oktober 1995 dimulai dengan penglibatan dalam menjayakan program-program pentas dan produksi drama televisyen sehinggalah penghasilan album.
Astro AWANI difahamkan jenazah Pak Ngah akan dibawa pulang esok.