Peguam Dayana dakwa sudah ada cukup bukti lagu Sumpah dibuat bersama Naim
Gempak
Februari 20, 2020 18:00 MYT
Februari 20, 2020 18:00 MYT
PEGUAM yang mewakili Dayana Armeda, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar meminta agar penyanyi Naim Daniel dapat berbincang secara baik dengan anak guamnya untuk menyelasaikan isu berhubung hak cipta lagu Sumpah.
Ahmad Zaharil berkata, sebaiknya isu tersebut selesai segera dengan mendapat kata sepakat daripada kedua-dua pihak agar ia tidak sampai ke peringkat yang lebih serius sehingga perlu memfailkan saman.
"Kita tunggu dia (Naim). Saya selalu dalam kes sivil selalu cakap, biarlah itu (saman) perkara terakhir. Kalau dulu mereka boleh berbincang, buat lagu bersama, kenapa sekarang tak boleh (berbincang).
"Kalau saya dengarkan cerita fakta dia (Dayana), buat lagu tu bersama dalam telefon, haiih..boleh tahan dua tiga jam tu kot. Jadi, kalau benda itu kita boleh buat masa tu, kenapa tak boleh duduk berbincang," katanya kepada Gempak.
Tambah Ahmad Zahiril lagi, dia memberikan tempoh yang cukup untuk Naim membuat tindakan sewajarnya.
"Kita bagi dia peluang untuk bertindak dengan secara wajar, buatlah apa yang patut.
"Kita bagi masa, tapi tak adalah lama sangat, dalam seminggu dua, tempoh yang berpatutanlah. Duk fikir-fikir dah tujuh bulan (Dayana mengandung). Biarlah diselesaikan secepatnya. Kami ada cukup bukti (lagu itu dibuat bersama)," katanya.
Terdahulu, Dayana meminta agar Naim tampil membuat pengakuan jujur kepada umum bahawa lagu itu dihasilkan bersamanya.
Isu pertikaian hak cipta lagu Sumpah tercetus sekitar Julai tahun lalu apabila lagu itu dikatakan menceritakan kisah percintaan mereka.
Difahamkan, lagu Sumpah yang diangkat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 itu dihasilkan Naim dan Dayana pada tahun 2015 ketika mereka sedang menjalin hubungan cinta.