Paul McCartney kecam budaya 'kuno' makan kelawar, desak pasar eksotik ditutup
Nailah Huda
April 15, 2020 12:18 MYT
April 15, 2020 12:18 MYT
LEGENDA The Beatles, Paul McCartney menyeru agar kerajaan China mengawal pasar basah di negara itu yang dikaitkan dengan punca penularan pandemik COVID-19.
Memetik laporan The Hollywood Reporter, bintang pop itu menimbulkan hal berkenaan dalam temu bual bersama Howard Stern pada Selasa.
Walaupun masih tiada bukti yang menunjukkan punca sebenar virus itu, namun beberapa pakar mendakwa COVID-19 berpunca daripada sebuah pasar makanan laut di Wuhan, China.
“Saya berharap kerajaan China akan berkata, ‘Okey, kita perlu tingkatkan tahap kebersihan’.
“Realitinya, makan kelawar itu sedikit ‘kuno’,” kata McCartney.
Ketika ditanya Stern kenapa pasar menjual haiwan eksotik itu tidak ditutup, McCartney berkata dia mengharapkan ada sinar perubahan melalui musibah yang melanda kini.
“Tidaklah begitu teruk jika hanya (koronavirus) ini yang disebabkan oleh pasar-pasar basah itu. Tetapi, SARS, selesema burung, dan pelbagai lagi (wabak) yang telah melanda kita.
"Semua untuk apa? Untuk amalan-amalan kuno ini.
“Mereka perlu buat sesuatu. (Pandemik) Ini mungkin akan mendorong mereka (untuk berubah); jika tidak, saya tak tahu lagi bagaimana mereka akan berubah,” kata McCartney lagi.
Penyanyi itu pada awalnya menghubungi program radio SiriusXM untuk bercakap tentang pengalamannya mengharungi pandemik koronavirus ketika menjalani kuarantin di Sussex bersama anaknya sebelum menyentuh isu pasar basah di China.
Beliau turut membandingkan keengganan kerajaan China untuk menutup pasar-pasar basah itu dengan sistem kehambaan di negara itu sebelum ia dihapuskan pada abad ke-20.
“Saya faham ada pihak yang akan berkata, ‘Ia telah wujud sejak sekian lama. Ini cara kami.’ Namun, mereka juga telah lama mengamalkan sistem kehambaan. Lama-kelamaan, ia perlu diubah,” katanya.
Sehingga kini, pakar perubatan sedunia masih tidak mencapai kata sepakat berhubung punca penularan COVID-19.
Pada awal April, Shenzhen menjadi bandar pertama di China yang melarang warganya menjual dan memakan anjing dan kucing.
#budaya kuno
#China
#COVID-19
#Howard Stern
#koronavirus
#makan kelawar
#pasar makanan laut
#pasar wuhan
#Paul McCartney
#The Beatles