Patrick Stewart luahkan hasrat mahu tinggalkan francais X-Men

Agensi
Februari 26, 2017 11:07 MYT
Tiada cara lain yang lebih indah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada watak Professor X, kata Stewart. - Foto Reuters
NAMPAKNYA anggota X-Men memerlukan ketua mutan baharu untuk membimbing mereka.
Aktor Patrick Stewart telah menyatakan hasrat untuk bersara daripada francais filem X-Men selepas 17 tahun membawakan watak Professor Charles Francis Xavier atau Professor X, lapor The Huffington Post.
Pelakon British berusia 76 tahun itu berkongsi keputusan persaraan tersebut sewaktu perbincangan sesi SiriusXM Town Hall mengenai filem X-Men terbaharu, Logan.
Bercakap di sebelah aktor Hugh Jackman dan pengarah filem berkenaan, James Mangold, Stewart berkata dia mengambil keputusan sedemikian selepas menonton filem tersebut seminggu yang lalu dan berasa sangat tersentuh.
“Saya duduk di situ menontonnya dan berfikir – tidak akan ada lagi cara yang lebih sempurna, lebih sensitif, emosional dan indah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada watak Charles Xavier selain dalam filem ini,” ujarnya.
Menurut Stewart, dia sudahpun lebih awal bercakap tentang hasratnya itu kepada Jackman - yang juga mengesahkan akan meninggalkan francais itu selepas lama menghidupkan karakter Wolverine.
“Saya telah beritahu (Jackman) pada malam yang sama, ‘ini sudah berakhir, cukuplah’,” ujar Stewart.
Stewart telah terlibat dalam enam francais filem X-Men sebelum Logan, iaitu X-Men (2000), X-Men 2 (2003), X-Men: The Last Stand (2006), X-Men Origins: Wolverine (2009), The Wolverine (2013), dan X-Men: Days of Future Past (2014).
#francais filem #logan #Patrick Stewart #professor charles xavier #professor x #X-Men
;