Pat Sajak umum bersara selepas 40 tahun bergelar hos Wheel of Fortune
Agensi
Jun 13, 2023 11:15 MYT
Jun 13, 2023 11:15 MYT
PERSONALITI televisyen terkenal antarabangsa, Pat Sajak mengumumkan persaraannya sebagai hos Wheel of Fortune dan musim akan datang bakal menjadi kemunculan terakhirnya.
Sajak yang kini berusia 76 tahun telah mengendalikan game show itu sejak tahun 1981.
“Masanya sudah tiba. Saya sudah membuat keputusan bahawa musim ke-41 yang akan bermula September depan akan menjadi kemunculan terakhir saya.
"Ia merupakan sebuah perjalanan yang menakjubkan dan saya punya banyak hal lagi yang akan diperkatakan untuk bulan-bulan mendatang. Terima kasih tidak terhingga buat anda semua,” kata Sajak dalam hantaran di akaun Twitternya.
Sajak mengambil alih tugas tersebut daripada Chuck Woolery, yang menjadi hos pertama permainan tersebut pada tahun 1975.
Bersama-sama dengan Vanna White, yang menyertai rancangan itu pada tahun 1982, Sajak muncul sebagai lelaki yang sangat dikenali di televisyen.
Wheel of Fortune menjadi program keluarga yang sangat popular dan ditayangkan di seluruh dunia termasuk yang diterbitkan dalam bahasa rasmi sesebuah negara termasuk Malaysia yang diterbitkan oleh Astro dan dikenali sebagai Roda Impian.
Sajak bagaimanapun, akan terus berkhidmat sebagai penasihat rancangan ini selama tiga tahun selepas persaraannya sebagai hos,.
"Sebagai hos Wheel of Fortune, Pat telah menghiburkan jutaan penonton di seluruh Amerika selama 40 tahun yang menakjubkan.
“Kami sangat berterima kasih dan bangga mempunyai Pat sebagai hos kami sepanjang tahun-tahun ini dan kami berharap dapat merayakan kerjayanya yang cemerlang sepanjang musim yang akan datang," kata Pengarah Eksekutif Game Show Sony Pictures Television, Suzanne Prete. - Agensi