Paris Hilton mangsa pesawat terhempas?
Syafique Shuib
Jun 28, 2015 18:23 MYT
Jun 28, 2015 18:23 MYT
SELEBRITI terkenal Paris Hilton menjadi mangsa prank sebuah rancangan televisyen yang dikendalikan oleh pelakon Mesir Ramez Galal.
Video yang berdurasi 18 minit itu dimuat naik di YouTube dan kini menjadi perbualan hangat di media sosial.
Dalam video berkenaan, Paris Hilton pada mulanya dipapar hadir dalam satu majlis pelancaran sebuah hotel di Dubai.
Beliau kemudian dijemput menaiki sebuah kapal terbang bagi melihat pemandangan bandar dari udara.
Paris bersama Ramez dan “penumpang” lain menaiki kapal terbang berkenaan sebelum juruterbang melakukan beberapa aksi di udara seolah-olah pesawat berkenaan dalam keadaan kecemasan dan akan terhempas.
Paris, yang kelihatan panik, terus menangis dan menjerit.
Keadaan menjadi lebih cemas apabila seorang penumpang membuka pintu pesawat dan ‘mencampak keluar’ seorang penumpang.
“Tidak. Saya tidak akan terjun,” jerit Paris.
Setelah pesawat berkenaan mendarat dengan selamat, Paris terus menangis.
Ramez memberitahu Paris bahawa ia adalah sebuah prank namun Paris kelihatan tidak begitu gembira dan berkata: “Saya akan bunuh awak. Ya Tuhan, saya fikir saya akan mati. Itulah apa yang saya begitu takut, untuk mati di dalam kapal terbang.
“Saya pernah lihat Punk’d (terbitan MTV) tetapi prank ini tahap yang berbeza. Ini memang gila,” katanya.
Sumber: YouTube
Beberapa netizen yang turut menganggap prank itu sebagai keterlaluan memberikan kata-kata semangat kepada Paris.