Paris Hilton bertunang kali keempat di usia 40 tahun

Agensi
Februari 18, 2021 22:26 MYT
Paris Hilton, mengesahkan sudah bertunang dengan teman lelakinya Carter Reum. - AP/Instagram@carterreum_official
PEWARIS empayar Hilton dan sosialit, Paris Hilton, mengesahkan sudah bertunang dengan teman lelakinya Carter Reum, pada hari jadinya, 13 Februari lalu.
Hilton, 40, menerima sebentuk cincin yang direka eksklusif oleh cicit Louis Cartier, Jean Dousett.
Media antarabangsa melaporkan cincin itu bernilai kira-kira AS$2 juta.
"Tahun lalu, dengan pandemik COVID 19, banyak perkara berubah. Sebelum ini saya selalu sibuk tetapi tahun lalu saya banyak habiskan masa di rumah dan menilai semula apa yang penting bagi saya.
"Saya sangat teruja untuk ke peringkat seterusnya," kata Hilton kepada portal People.
Ini bagaimanapun bukan kali pertama Hilton bertunang.
Sebelum ini, bintang realiti televisyen itu pernah bertunang dengan model, Jason Shaw pada 2002 ketika berusia 21 tahun.
Tiga tahun selepas pertunangan itu putus, Hilton bertunang pula dengan pewaris empayar perniagaan Greek, Paris Latsis, pada 2005. Namun hubungan itu berakhir tidak sampai enam bulan kemudian.
Pada 2018, Hilton mengikat tali pertunangan pula dengan aktor Chris Zylka, yang turut berakhir beberapa bulan selepas itu.
#Paris Hilton #hilton #Carter Reum #Bertunang #hiburan #Hollywood
;