Paras oksigen semakin bertambah, Nad Zainal tunjuk petanda positif

Astro Awani
November 23, 2022 23:49 MYT
Terdahulu, media melaporkan Nad dikejarkan ke unit kecemasan pada malam Isnin lalu dan doktor mengesahkan paru-parunya dipenuhi darah. - Sumber foto Instagram Nad Zainal
KEADAAN pelakon Nad Zainal yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri akibat jangkitan kuman di paru-paru, dilaporkan semakin menunjukkan petanda positif.
Dalam maklumat terbaharu yang diterima Astro AWANI, paras oksigen dalam darah pelakon Dendam Seorang Isteri itu semakin bertambah, dan pernafasannya juga kembali stabil.
"Nanad masih lemah ... Alhamdulillah rawatan terbaharu ini nampaknya beri kesan, sebab pagi tadi paras oksigen dia sangat rendah dan paru-paru masih berdarah.
"Doktor tukar rawatan lain dan dia masih ditidurkan, tetapi keadaannya lebih baik dari pagi tadi," kata sumber itu.
Terdahulu, media melaporkan aktres berusia 32 tahun itu dikejarkan ke unit kecemasan pada malam Isnin lalu dan doktor mengesahkan paru-parunya dipenuhi darah selepas menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).
Dia dilaporkan mula tidak sihat sejak Jumaat lalu.
Selepas selesai membawa keluar semua darah, doktor terpaksa melakukan prosedur intubasi sekitar jam 6 petang semalam, berikutan Nad berdepan masalah pernafasan.
Susulan itu, menerusi media sosial, sejumlah artis tempatan bersolidariti dan mengajak seluruh peminat hiburan untuk sama-sama mendoakan kesembuhan Nad.
Sementara itu, pelakon Datin Umie Aida pula akan menganjurkan majlis bacaan Yasin buat Nad. Majlis berkenaan akan diadakan malam esok di kediamannya di Kuala Lumpur.
#Nad Zainal #jangkitan paru-paru #unit rawatan rapi #masalah pernafasan
;