Parah tawar harapan, tawan hati rakyat
Muzaffar Mustapa
Mei 21, 2013 18:17 MYT
Mei 21, 2013 18:17 MYT
SETELAH seminggu dipentaskan di Damansara Perdana Arts Centre, teater Parah telah menawan hati rakyat Malaysia pelbagai bangsa.
Teater arahan pengarah teater prolifik, Jo Kukathas itu mengisahkan bagaimana empat sekawan, Hafiz, Melur, Kahoe dan Mahesh menemui cabaran sewaktu menyiasat kejadian sehelai mukasurat yang telah dikoyakkan daripada sebuah buku teks mereka.
Ditulis oleh Alfian Saat, naskhah Parah merupakan pemenang anugerah Skrip Asal Terbaik di Anugerah Seni BOH Cameronian 2013 yang berlangsung pada 1 Mei lalu.
Teater yang diinspirasikan daripada naskhah novel Interlok tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dan filem Talentime arahan Yasmin Ahmad itu dibintangi oleh pelakon teater generasi muda Iedil Putra, Farah Rani, Gregory Sze dan Branavan Aruljothi.
Menariknya teater Parah telah dipilih mewakili negara untuk dipersembahkan di World Theatre Festival 2013 yang berlangsung di Brisbane, Australia pada Februari lalu.
Di laman sosial, rata-rata penonton yang telah menyaksikan pementasan tersebut memuji bagaimana penulis meneroka satu isu sensitif dengan berkesan ke dalam sebuah naskhah.
Sewaktu dipentaskan di Brisbane, pementasan tersebut turut menerima pujian daripada pengkritik teater antarabangsa dan tempatan.
Parah akan dipentaskan sehingga 26 Mei depan di Damansara Perdana Arts Centre. Harga tiket untuk menyaksikan pementasan tersebut berharga RM58. Layari www.kakiseni.com atau hubungi 011-2388 1807 untuk maklumat lanjut.