Panggung Anniversary dibuka semula kepada umum
Bernama
Disember 4, 2016 08:11 MYT
Disember 4, 2016 08:11 MYT
Panggung Anniversary Taman Botani Perdana di sini yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan warga kota untuk melihat persembahan hiburan secara percuma, dibuka semula kepada umum bermula Sabtu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembukaan semula panggung berkenaan diharap dapat menghidupkan semula nostalgia panggung berkenaan yang menjadi satu-satunya pentas persembahan hiburan percuma di ibu negara sekitar era 1970-an dan 1980-an.
"Panggung ini telah menjadi destinasi wajib kepada warga kota pada hujung minggu selain melahirkan ramai bintang hiburan," katanya dalam ucapan perasmian pembukaan semula panggung berkenaan malam tadi.
Tengku Adnan berkata usaha menaik taraf Panggung Anniversary itu juga merupakan salah satu tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mewujudkan ruang dan peluang kepada penggiat seni mempersembahkan hasil karya kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
"Panggung ini juga mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang, meriah dengan pelbagai acara sebagai satu tarikan pelancong, penganjur acara serta para pelajar seni bina di Taman Botani Perdana," katanya.
Tambahnya panggung tersebut juga akan menjadi 'Rumah Orkestra DBKL' dengan mengadakan persembahan bulanan bersama artis-artis popular tanah air secara percuma kepada warga kota.
Panggung Anniversary yang dibina pada 1967 telah ditutup pada 2007 dan sekali lagi pada 2010 untuk proses pengubahsuaian kemudahan awam termasuk bumbung, tandas dan tempat duduk penonton yang mampu menempatkan seramai 2,000 orang dalam satu masa.
Terdahulu, bersempena majlis tersebut Konsert Dari Panggung Anniversary turut diadakan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis popular tempatan seperti Datuk A.Rahman Hassan, Ibnor Reza dan Datuk DJ Dave. -- Bernama
#DBKL
#DJ Dave
#Menteri Wilayah Persekutuan
#Panggung Anniversary
#Taman Botani Perdana
#Tengku Adnan Tengku Mansor