Panggilan video terakhir Siti Sarah jadi kenangan abadi buat Shuib dan anak-anak
Astro Awani
Ogos 9, 2021 13:02 MYT
Ogos 9, 2021 13:02 MYT
KUALA LUMPUR: Panggilan video terakhir dengan arwah isterinya Siti Sarah Raissuddin akan menjadi kenangan abadi buat pelawak terkenal Shuib Sepahtu.
Shuib, 37, memaklumkan, dia dan tiga anak mereka sempat menghubungi arwah semalam ketika sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Saya dapat membuat panggilan video dengan bantuan jururawat dan doktor, dan itulah kali terakhir kami dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.
"Arwah nampak mengalirkan air mata seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya," katanya seperti yang dipetik daripada portal Berita Harian.
Sementara itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan arwah isterinya selama berada di hospital.
“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti buat solat hajat, sedekahkan bacaan Yasin dan semua doa untuk arwah isteri saya.
[TERKINI] Perjalanan akhir Siti Sarah
"Teruskan berdoa untuk Sarah," katanya.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi di ICU, HCTM setelah bertarung nyawa akibat dijangkiti COVID-19.
Arwah terpaksa ditidurkan dan melahirkan anak keempatnya, Ayash Affan melalui pembedahan, Jumaat lalu.
Pasangan yang berkahwin pada 2011 itu juga mempunyai tiga lagi cahaya mata, Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.
#Siti Sarah Raissudin
#unit rawatan rapi
#ICU
#COVID-19
#Shuib
#meninggal dunia
#Ayash Affan
#Uwais Alqarni
#Dzahira Talita Zahra
#Ariq Matin