Pandemik tidak halang Alena cipta 'masterpiece' buat peminat

Nickyson Nyambar
April 1, 2021 22:10 MYT
Alena Murang diapit ahli muzik yang antaranya turut menjayakan album Sky Songs, Josh Maran, Jimmy Chong dan Herman Ramanado. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Bagi yang sentiasa mengikuti perjalanan penyanyi dan pemain sape, Alena Murang, sudah pasti sedar Alena tidak henti-henti menghadiahkan karya muzik meskipun ketika pandemik COVID-19.
Situasi yang menghimpit seluruh dunia bagaimanapun tidak menjadi batu penghalang buat anak Sarawak kelahiran Kelabit-Itali ini untuk mencipta karya bertaraf antarabangsa.
Jika sebelum ini, Alena telah melancarkan lagu rakyat kontemporari Gitu'an dan Meno, kali ini semuanya dirangkumkan di bawah album baharu beliau dikenali 'Sky Songs'.
"Ketika pandemik, memang susah untuk menulis lagu, melakukan rakaman. Saya terpaksa membeli set studio asas, lakukan set up di rumah saya sendiri.
"Sebelum ini saya tidak pandai melakukan rakaman sendiri, tetapi disebabkan situasi yang berlaku, saya dapat belajar melakukan rakaman.
"Saya rekodkan (lagu), email fail itu dan segala mesyuarakat dilakukan secara maya. Bila keadaan reda sedikit, ahli produksi dan saya sendiri bergegas ke studio rakaman dan rakam segalanya dalam satu masa," katanya ketika ditemu bual AWANI Borneo.
Menurut Alena, album Sky Songs yang baharu dilancarkan pada Rabu diinspirasikan daripada cerita-cerita nenek moyangnya yang tinggal di 'langit' dan bumi.
Keseluruhannya, lapan lagu diperkenalkan ratu sape ini di bawah album Sky Songs.
Antaranya, We Watched The Clouds, Maya, Warrior Spirit, Thunder and the Moon dan Sunhat Song.
"Setiap trek lagu ini ada identiti tersendiri, ada karakternya," kongsi Alena.
Dalam pada itu, Alena turut berharap penerimaan lagu rakyat kontemporari lebih besar dalam industri muzik di Malaysia.
"Kita memang menghantar trek kepada stesen radio di Malaysia dan antarabangsa. Kami berharap lagu-lagu ini dapat diterbitkan seperti untuk drama TV dan sebagainya.
"Saya sekarang tengah berbincang dengan sebuah syarikat pengeluar yang berpangkalan di Taiwan untuk siaran digital," tambah ratu sape ini.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran album 'Sky Songs' di Drum Asia Live, Selangor pada Rabu.
Selain Alena, album Sky Songs turut dijayakan bersama sepupunya Joshua Maran bersama ahli muzik yang lain iaitu Jonathan Wong, Ketshin, Herman Ramanado, Jimmy Chong, Derrick Siow dan Niko Coyez.
Album ini diterbitkan sebagai sebahagian daripada projek Roads To Our Heritage (RTOH) yang disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Dana Kandungan Digital 2020 serta Dayak Cultural Foundation Sarawak.
Antara artis tempatan yang turut ditampilkan menerusi inisiatif budaya ini adalah kumpulan Estranged dan Stonebay.
#Sky Songs #Alena Murang #Roads To Our Heritage RTOH #Dayak Cultural Foundation Sarawak #Kementerian Komunikasi dan Multimedia KKMM
;