Pameran lukisan 6 dekad Latiff Mohidin dibuka
Astro Awani
Disember 26, 2012 07:05 MYT
Disember 26, 2012 07:05 MYT
Pameran lukisan pelukis besar negara sekaligus antara pelukis Asia yang dihormati dunia, Latiff Mohidin mula dibuka semalam.
Pameran yang ditunggu-tunggu ini menampilkan hasil karya Latiff selama enam dekad antara tahun 1951 hingga 2001.
Ini adalah pameran solonya yang pertama dalam masa lima tahun, Selain satu lagi pameran berasingan iaitu Siri Serangga yang dibuka sejak akhir November lepas.
Pameran ini mengambil ruang, empat daripada enam galeri di Balai Seni Visual Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Ia mengangkat lebih 300 lukisan termasuk arca yang dihasilkan merentas jarak waktu beliau mula meneroka senirupa sehinggalah mencapai kematangan sebagai seniman.
Antaranya lukisan terkenal ini, Pago-Pago yang dihasilkan pada tahun 1964 dan merupakan koleksi tetap Balai Seni Visual Negara.
Pameran ini juga menampilkan beberapa siri lukisannya yang lain termasuk Mindscape, Gelombang dan Rimba.
Selain pameran retrospektif di Balai Seni Visual Negara ini, satu lagi pameran Latiff juga sedang berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara.
Pameran itu menampilkan 33 lukisan terbaru Latiff bermotifkan serangga yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai jelmaan daripada Siri Pago-Pago yang dikerjakannya hampir 50 tahun lalu.