Pak Ya berjiwa besar maafkan Lan Pet Pet
Gempak
April 24, 2019 12:00 MYT
April 24, 2019 12:00 MYT
PENGAWAL keselamatan, Yahya Manap, 68, atau Pak Ya menamatkan persengketaan dengan pelawak Lan Pet Pet.
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 50, telah bersemuka dengan pengawal keselamatan tersebut pada Selasa malam.
Dalam pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak, permohonan maaf Lan Pet Pet disambut Pak Ya dengan hati terbuka.
“Saya maafkan Lan (Mazlan)... ini bukan kerana wang tetapi keinsafan dirinya membuka hati saya memaafkannya.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun bulan Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi. Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia.
“Saya bukannya pendendam. Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka,” kata Yahya seperti laporan BH Online.
Tambah Pak Ya, dia kasihan kepada Mazlan terutama dalam aspek karier dan reputasinya selepas insiden hitam itu.
“Kerjaya dan reputasi Lan tercalar dengan insiden itu,” katanya.
Yahya menghormati tindakan Lan yang sanggup bersemuka untuk memohon maaf dengan hati yang ikhlas.
“Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Saya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.
“Saya tidak akan meneruskan tindakan saman itu,” katanya.
Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.
Mazlan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof.
Mazlan mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu membayar denda diputuskan mahkamah.
BACA: Kes pukul pengawal keselamatan, Lan Pet Pet mengaku bersalah - didenda RM2,000