Pahit getir Kuala Lumpur sejak 1857 rencah teater muzikal Mud - Tiara Jacquelina
Bernama
Mei 20, 2016 10:08 MYT
Mei 20, 2016 10:08 MYT
Mengangkat penceritaan mengenai salasilah bandar raya Kuala Lumpur (KL), teater muzikal 'MUD: The Story of Kuala Lumpur Since 1857' bakal memasuki ulang tahun kedua pada 21 Jun ini.
Berbeza dengan pementasan asal arahan Amsalan Doraisingam, teater muzikal itu kali ini diarahkan sendiri oleh Puan Seri Tiara Jacquelina selaku Presiden Enfiniti Vision Media yang telah menjayakan karya itu sejak 2014 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Tiara, pementasan versi terbaharu itu lebih menampilkan latar belakang masyarakat majmuk di negara ini yang menyaksikan detik sejarah dan perubahan Kuala Lumpur sehingga maju pada hari ini.
Malah beliau turut menampilkan beberapa lagu yang rancak dan bertenaga serta menyelitkan runut bunyi tradisional dan skrip lucu bagi memberi suasana ceria kepada penonton.
"Pengisian teater versi terbaru ini lebih menonjolkan pengalaman penduduk asal berhadapan dengan perubahan Kuala Lumpur contohnya musibah seperti banjir besar yang melanda serta peristiwa kebakaran besar yang pernah berlaku.
"Peristiwa seperti ini tidak semua penduduk Kuala Lumpur tahu jadi kita bawakan untuk membuka mata orang ramai tentang kepayahan penduduk dahulu berhadapan pelbagai ujian getir sehingga menjadikan Kuala Lumpur lebih maju," katanya selepas di temu bual dalam program Bernama Today di sini, pada Khamis.
Lebih menarik, Tiara berkata pementasan itu juga memberi peluang kepada penonton merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian penduduk asal Kuala Lumpur dengan berinteraksi dengan pelakon di pentas.
"Kita akan bawa sekali penonton terutama pelancong asing untuk naik ke pentas bersama-sama memasak dan rewang serta menikmati makanan yang dihidang.
"Pengalaman ini pasti indah untuk mereka bawa pulang," katanya yang mengambil masa sembilan bulan menyelidik fakta sejarah Kuala Lumpur sebelum menjayakan pementasan tersebut.
Tiara turut menyeru anak muda di Kuala Lumpur untuk bersama-sama menonton pementasan teater muzikal itu bagi mempelajari sejarah ibu kota melalui pendekatan teater.
Sejak bermula pada 2014, lebih 1,200 pementasan telah dilakukan dan membawa lebih 30,000 penonton termasuk pelancong dari dalam dan luar negara menyaksikan kisah Kuala Lumpur.
Sejumlah 38 pelakon dan tenaga produksi terlibat dalam pementasan berdurasi satu jam itu yang ditayangkan dua sesi sehari pada pukul 3 petang dan 8.30 malam di Panggung Bandaraya DBKL di sini.
Untuk tempahan tiket dan maklumat lanjut mengenai teater muzikal MUD, layari laman web www.mudkl.com.