Pada usia 70 tahun, Ahmad Tarmimi Siregar dipilih sebagai hero oleh pengarah filem Indonesia

Gempak
Ogos 13, 2022 18:03 MYT
Datuk Ahmad Tarmimi Siregar menyifatkan beliau sangat beruntung kerana dipilih sebagai pemegang watak utama filem Pengalaman Pertama walaupun usianya sudah mencecah 70 tahun. - Gambar GEMPAK
SEBUAH filem bergenre kekeluargaan dari seberang, Perjalanan Pertama mempertaruhkan pelakon legenda Malaysia, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar sebagai watak utama.
Menurut pengarahnya, seorang sutradara muda berbakat asal Indonesia, Arief Malinmudo, dia sangat terkesima melihat jiwa lakonan Ahmad Tarmimi yang sangat besar sehingga membuatkan aktor berusia 70 tahun itu terpilih menjadi tonggak utama.
“Ketika kami mula membangunkan cerita ini pada tahun 2017, sewaktu menulis saya sudah membayangkan watak Gaek Tan (Datuk Tan) ini adalah Pak Ahmad Tarmimi kerana sebagai pembuat filem muda, saya melihat Pak Ahmad Tarmimi mempunyai bakat berlakon yang masih besar, boleh digali dan saya tertarik untuk itu.
“Jadi akhirnya, saya mula mengkaji filem-filem dan drama-drama lakonan Pak Ahmad Tarmimi ketika masih muda hingga sekarang, dari situ saya berfikir saya harus bertemu dengan Pak Ahmad Tarmimi.
“Saya berasa beruntung dapat bekerjasama dengan Pak Ahmad Tarmimi yang berusia 70 tahun dengan Muzakki, seorang rising star di Indonesia,” ujar Arief kepada Gempak.
Menurut Ahmad Tarmimi pula, ketika diminta membawa watak berat ini, dia seperti tiada alasan untuk menolak karya sebagus Perjalanan Pertama memandangkan proses lakonan yang dijalankan di Bukittinggi, Indonesia ini memberikan pengalaman tersendiri.
“Ini adalah filem kedua saya bersama pihak produksi, filem pertama pada tahun 2017. Nak dikatakan dari segi cabaran, mungkin budaya kerja dan suasananya sedikit berbeza.
“Tapi ia satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Yang lain-lain, Alhamdulillah kerana proses yang dibuat oleh Arif dalam filem ini agak panjang tetapi dua bulan sebelum proses penggambaran, kita lakukan latihan, saya dan Mazakki Ramdhan menjalani proses chemistry antara satu sama lain, berlatih menaiki vespa, proses membaca skrip, saya cukup tertarik dan terkesima," kata beliau.
Ahmad Tarmimi bersama Arief ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem tersebut yang diadakan di The Starling, Damansara pada Khamis.
Perjalanan Pertama mengisahkan kehidupan seorang datuk bersama cucunya, Yahya lakonan Muzakki Ramdhan yang berdepan liku-liku kehidupan di usia yang masih kecil.
Tonton filem kekeluargaan penuh emosi ini di pawagam-pawagam berdekatan anda di Malaysia bermula 18 Ogos ini.
Selain Ahmad Tarmimi dan Muzakki, filem ini turut dibintangi aktor kacak Randy Pangalila dan Adinda Thomas.
Artikel asal disiarkan di Gempak.
#Ahmad Tarmimi Siregar #hero filem Indonesia #Perjalanan Pertama #Arief Malinmudo
;