#OscarsSoWhite: 'Oscar anugerah yang rasis' - Netizen
Kohilah Sekaran
Januari 15, 2016 13:15 MYT
Januari 15, 2016 13:15 MYT
Musim anugerah Hollywood terus hangat dengan pengumuman pencalonan Anugerah Akademi ke-88.
The Revenant mendahului senarai dengan 12 pencalonan, termasuk kategori filem terbaik, pelakon terbaik dan pengarah terbaik.
Bagaimanapun, penonton mengecam pencalonan Anugerah Akademi ke-88 kerana gagal mengiktiraf pelakon serta pengarah filem yang tidak berkulit putih serta pelakon antarabangsa.
Hashtag #OscarsSoWhite merupakan antara hashtag yang trending di media sosial, hari ini dengan netizen menyifatkan ia sebagai satu majlis anugerah yang rasis.
Rata-rata netizen mempersoalkan kewajaran pihak juri yang mengabaikan beberapa filem besar yang menampilkan pelakon berkulit hitam ataupun pelakon antarabangsa dari senarai pencalonan.
Menurut mereka, tahun ini setiap calon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, dan Pelakon Pembantu Terbaik adalah pelakon yang berkulit putih.
Tindakan itu tidak wajar kerana ada dikalangan pelakon yang lebih layak untuk menerima anugerah tersebut.
Sementara itu, netizen berkata, selain mencalonkan pelakon atau pengarah yang sama setiap tahun, peluang itu boleh digunakan untuk mencalonkan lebih banyak pelakon baru yang berkelayakan.
Antara pelakon yang dimaksudkan ialah Mya Taylor yang tidak menerima sebarang pencalonan bagi filem Tangerina serta Idris Elba bagi filem Beast of No Nation yang menerima sambutan yang hangat ketika ia ditayangkan.
Anugerah Oscar akan berlangsung pada 28 Februari di Dolby Theater.
Chris Rock kembali sebagai hos, setelah menjadi hos buat kali pertama pada 2005.