Oscar: Tiga filem menjadi pilihan pengkritik
Azyyati Ahmad
Februari 24, 2013 18:26 MYT
Februari 24, 2013 18:26 MYT
Astro Awani telah menjemput dua pengulas filem, Ajami Hashim dan Fadli Al-Akiti untuk bersama-sama berkongsi mengenai ramalan pemenang Anugerah Akademi kali ini.
Ajami berpendapat tidak semesti filem yang mendapat pencalonan yang paling banyak yang akan berpeluang menang besar pada anugerah kali ini.
Ajami juga meramalkan Argo yang mendapat tujuh pencalonan bakal menjadi filem terbaik pada tahun ini.
“Mungkin kerana kontroversi pengarah filem Argo, yang membuatkan orang ingin menonton Argo” tambah Ajami lagi.
Namun begitu Fadli merasakan yang peluang kemenangan untuk Argo adalah tipis kerana Ben Affleck tidak tercalon di dalam senarai pengarah terbaik.
“Kalau dilihat senarai pencalonan kali ini, filem Silver Linings Playbook dan Lincoln punya kekuatan untuk menang, ini kerana kedua-dua filem tersebut masih lagi ditayangkan di pawagam Amerika” Ujar Fadli.
Anugerah Akademi yang ke 85 akan disiarkan secara langsung pada esok (Isnin) pukul 9 pagi waktu tempatan. Ia bagi menghargai kecemerlangan dalam banyak aspek pembikinan filem seperti lakonan, pengarahan dan lakon layar.
Untuk mengetahui apakah ramalan selanjutnya sila tontoni temubual penuhnya di Gala TV.