Oscar: Signifikan pelukan penuh emosi Halle Berry, Michelle Yeoh
Agensi
Mac 13, 2023 14:53 MYT
Mac 13, 2023 14:53 MYT
LOS ANGELES: Michelle Yeoh menjadi wanita Asia pertama yang memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.
Bintang Everything Everywhere All At Once dengan anggun berjalan ke atas pentas dan menerima anugerah yang disampaikan oleh pelakon Halle Berry.
Berry kelihatan beremosi semasa menyerahkan patung emas berprestij itu kepada Michelle.
Pemilihan Berry untuk menyampaikan anugerah itu dilihat signifikan kerana sebelum Michelle, Berry merupakan satu-satunya wanita bukan kulit putih yang memenangi Pelakon Wanita Terbaik.
Anugerah Akademi menghampiri usia 100 tahun tetapi hanya dua pelakon bukan kulit putih memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik.
Reaksi Berry yang sebak dengan kemenangan Michelle dianggap momen indah kerana kedua-dua mereka tahu betapa besarnya makna di sebalik kemenangan tersebut.
Emosi mereka turut dikongsi oleh peminat di media sosial.
"(Melihat) wajah Halle Berry ketika dia menyampaikan trofi kepada Michelle Yeoh, 21 tahun selepas dia mencipta sejarah di Oscars. Saya menangis," kata seorang peminat.
"Pelukan bersejarah antara Halle Berry dan Michelle Yeoh. Pelakon kulit hitam pertama yang memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, menyampaikan anugerah kepada pemenang pelakon Wanita Terbaik berketurunan Asia pertama," kata seorang lagi.
Sedikit berbeza dengan edisi Oscar sebelum ini, Berry yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada 2002 menerusi filem Monster's Ball, diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan anugerah tersebut tahun ini.
Kebiasaannya, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik dari tahun sebelumnya akan diberikan tugas itu, tetapi kontroversi membabitkan pemenang tahun lalu, Will Smith, membuatkannya tidak dibenarkan hadir tahun ini.