Oscar: Perancangan jangka panjang perlu bagi tembus pasaran antarabangsa - Kamil
Irwan Muhammad Zain
Mac 13, 2023 16:23 MYT
Mac 13, 2023 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kemenangan pelakon kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh Anugerah Akademi ke-95 (Oscar 2023) merupakan alasan terbaik untuk menyemak kembali perancangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha menghasilkan filem yang bermutu.
Menurut Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman kemenangan Michelle juga membuktikan ia bukan satu usaha jangka pendek.
Mengambil contoh program Road To Oscar sebelum ini, Kamil menjelaskan, banyak perkara perlu dilakukan sebelum mencapai ke destinasinya iaitu Anugerah Oscar.
"Dengan kemenangan Tan Sri Michelle Yeoh ini kita tidak boleh anggap ini kejayaan yang diperolehi dalam sekelip mata kerana Tan Sri Michelle sudah berapa tahun dah berkecimpung dalam bidang ini.
"Kalau kita lihat penglibatan beliau, ia step by step, ia bukan kejayaan yang diraih dalam masa yang singkat, perlu kerja keras.
"Jadi yang kami di Finas sudah kenal pasti, kita tidak boleh ad hoc sekiranya mahu membangunkan filem tempatan, kita tidak boleh buat sesuatu dan mengharapkan kejayaan serta merta, perlu ada perancangan jangka panjang," katanya kepada Astro AWANI.
Kamil menjelaskan, banyak perkara perlu dilihat kembali antaranya cara dana digunakan, cara latihan dan kaedah pemasaran untuk memastikan filem tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa.
"Kadang-kadang kita masih lagi dalam era pasaran domestik, filem-filem yang kita buat seolah-olah macam untuk pasaran domestik semata-mata.
"Pekara ini bukan salah sesiapa, tetapi kerana pasaran kita begitu tetapi perkara ini perlu kita ubah, perlu ada perancangan untuk ke pasaran antarabangsa," katanya lagi.
Beliau juga berpendapat, kemenangan Michelle juga membuka peluang untuk kerjasama dengan syarikat-syarikat luar dalam usaha untuk filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Penulis dan Pengkritik Filem, Hassan Muthalib juga senada dengan Kamil, bahawa perancangan jangka panjang perlu dilakukan untuk filem tempatan menempa kejayaan di pentas antarabangsa
Jelas beliau, kemenangan Michelle tidak seharusnya membuatkan pihak-pihak tertentu mula membuat perancangan semberono hingga hilang arah tuju.
"Jangan bila Tan Sri Michelle dapat Oscar barulah kita menggelabah, mula nak fikir itu fikir ini, nak rancang itu dan ini.
"Ia bukan begitu, kita kena ada perancangan jangka panjang kalau kita benar-benar mahu filem tempatan berjaya di pasaran antarabangsa dan ke Oscar.
"Misalnya kalau kita letak satu tempoh, dari sekarang sampai 10 tahun akan datang contohnya, filem kita sekurang-kurangnya dapat pencalonan di Oscar, itu sepatutnya," katanya.
Kemenangan Michelle di Anugerah Oscar menerusi filem Everything Everywhere All at Once menjadikan beliau pelakon Asia pertama yang dinobatkan pelakon wanita terbaik di acara tersebut dalam tempoh hampir 90 tahun.
#filem
#FINAS
#pengkritik
#Kamil Othman
#Hassan Mutalib
#Oscar
#Michelle Yeoh
#pasaran
#antarabangsa