"Orang asyik kata saya anak emak, saya juga anak bapak" - Fazley Yaakob
Syafique Shuib
Februari 11, 2016 18:50 MYT
Februari 11, 2016 18:50 MYT
Setelah kehilangan bapa tercinta pada Isnin, juara MasterChef Selebriti Malaysia, pemilik restoran dan pakar motivasi Datuk Ahmad Fazley Yaakob akui masih merindui arwah bapanya walaupun kini harus memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Dalam catatan terbaru yang dikongsi di Instagram, Fazley berkata kesedihan itu akan digunakan sebagai kekuatan setelah harus memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga menggantikan arwah bapanya.
“Paji (nama panggilan) rindu bapak, namun kerinduan itu akan Paji jadikan kekuatan dan semangat untuk meneruskan perjuangan bapak buat keluarga kita yang telah bapak bina dengan penuh belaian kasih sayang,” kata Fazley di Instagram.
Dalam status Instagram berasingan, Fazley dan adiknya Raden Ahmad Faizal atau - Raf Yaakob - meyempurnakan pesanan Arwah bapa mereka untuk mandikan, kafankan, masukkan ke liang lahat serta mendoakan ketika bacaan talqin.
Datuk Yaakob Mohammad, 67, meninggal dunia awal pagi Isnin di Hospital Pakar KPJ Damansara akibat komplikasi paru-paru.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Umi Kalsom Abdul Latib dan empat anak serta tujuh orang cucu.