Oprah Winfrey tutup studio di Chicago, pekerja diberhentikan
Syafique Shuib
April 1, 2016 19:08 MYT
April 1, 2016 19:08 MYT
IKON dunia penyiaran khususnya dalam program bual bicara, Oprah Winfrey, akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Harpo Studios iaitu studio yang digunakannya untuk rakaman program bual bicara ‘The Oprah Winfrey Show’.
Menerusi Instagram, Winfrey turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan terakhir yang akan meninggalkan Harpo Studios yang terletak di Chicago.
“Ini merupakan hari terakhir untuk pasukan terhebat di televisyen. Mereka adalah yang terakhir akan meninggalkan bangunan Harpo di Chicago pada Jumaat.
“Terlalu banyak kenangan! Terima kasih semua,” kata Winfrey.
Studio yang terletak di Chicago mula digunakan Winfrey untuk program bual bicaranya pada 1990.
Syarikat bekernaan turut bertindak sebagai penerbit untuk program bual bicara yang lain yang dikendalikan oleh Dr Phil McGraw, Rachael Ray dan Dr Mehmet Oz.
The Daily Mail melaporkan bahawa pada 2012, Harpo Studios mempunyai 12,000 kakitangan.
Berita tentang pemberhentian pekerja tidak mengejutkan kakitangan Winfrey kerana pengacara itu sendiri membuat pengumuman pada Mac 2015.
Malah beberapa orang kanan Winfrey diserap ke saluran Oprah Winfrey Network (OWN) milik Winfrey dan Discovery Channel.
Winfrey kini berpindah ke Los Angeles, iaitu lokasi ibu pejabat dan studio baharu saluran OWN.