Opick umum bernikah kali ketiga
Astro Awani
Disember 17, 2018 10:36 MYT
Disember 17, 2018 10:36 MYT
PENYANYI lagu-lagu berunsur ketuhanan terkenal Indonesia, Opick mengumumkan yang dia telah bernikah seorang lagi dengan wanita bernama Bebi Silvana.
Pengumuman itu sekali gus menjawab pertanyaan ramai mengenai pernikahan terbaharunya yang hangat didebatkan sejak beberapa hari lalu.
"Bismillah.. Assalammualaikum Mohon doanya para guru dan sahabat sekalian... semoga kami diberi keluarga sakinah mawaddah warahmah...," tulis Opick di akaun Instagramnya @opick_tomboati pada Ahad.
Opick turut berkongsi foto dia bersama Bebi dalam laman sosial itu.
Dalam masa sama, Opick turut memohon doa daripada orang ramai bagi perkahwinan terbaharunya itu.
"Dan semoga di berkahi hari harinya dg rezki melimpah barokah manfaat jauh dari musibah dan bencana dimudahkan segala urusan nya di ridhoi hari2 nya..."
"Dimudahkan dalam ibadah diberi rohmat dan hidayah... diberi anak anak menyelamatkan yg sholeh dan sholeha selamat dan Trimakasih," kata Opick atau nama sebenarnya, Aunur Rofiq Lil Firdaus.
Berdasarkan laporan portal berita Kompas, ini merupakan perkahwinan ketiga buat Opick.
Perkahwinan pertamanya dengan Dian Rositaningrum dikurniakan lima orang cahaya mata. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 24 Julai lalu kerana Dian tidak boleh menerima poligami.
Opick memadukan Dian dengan menikahi seorang wanita bernama Wulan. Namun begitu, Wulan meninggal dunia pada Mac lalu.
Sekalipun mengumumkan perkahwinan kali ketiganya, namun, penyanyi berusia 43 tahun itu tidak pula memaklumkan bila dia dan Bebi disatukan sebagai suami isteri.
Khabar angin bertiup kencang mendakwa Opick bernikah lagi kedengaran menjelang keputusan perceraian penyanyi itu dengan Dian sekitar Julai lalu.
Ketika itu, Opick dilaporkan telah meminta izin daripada Dian untuk menggunakan bilik tidur utama bersama isteri baharunya itu.
Hal itu didedahkan oleh peguam Dian, Ina Rachman.
"Pagi tadi, Dian menghubungi saya dan memberitahu Opick sudah menikah lagi dan bertanya pada Dian sama ada bilik tidur utama boleh digunakannya bersama isteri baharu," kata Ina kepada media di Mahkamah Agama Jakarta Timur pada 10 Julai lalu.