Omicron: Anugerah Grammy ditangguhkan

Reuters
Januari 6, 2022 11:00 MYT
Anugerah Grammy tahun lalu juga ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. - Gambar hiasan
ACARA Anugerah Grammy tahun ini ditangguhkan susulan penularan varian Omicron COVID-19, kata penganjur pada Rabu.
Majlis penganugerahan paling berprestij untuk penggiat muzik itu sebelum ini dijadual berlangsung di pusat bandar Los Angeles dan disiarkan secara langsung di rangkaian CBS pada 31 Januari.
"Memandangkan ketidakpastian yang menyelubungi varian Omicron, adalah terlalu berisiko untuk meneruskan acara itu," kata CBS dan Akademi Rakaman dalam satu kenyataan bersama.
Satu tarikh baharu akan diumumkan tidak lama lagi, tambah mereka.
Anugerah Grammy tahun lalu juga ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. Ia pada mulanya dirancang diadakan pada Januari namun hanya berlangsung pada Mac.
CBS dan Akademi Rakaman berkata mereka telah berbincang dengan pihak berkuasa, pakar kesihatan dan artis sebelum memutuskan untuk menangguhkan acara tersebut.
"Kesihatan dan keselamatan mereka dalam komuniti muzik, penonton secara langsung dan ratusan kru yang bekerja tanpa jemu, menjadi keutamaan kami," kata mereka.
Selain Grammy, Omicron turut menjejaskan beberapa acara penganugerahan lain di Hollywood.
Penganjur Festival Filem Sundance bulan ini di Park City, Utah, pada Selasa memaklumkan, pihaknya telah membatalkan acara tersebut secara fizikal dan akan menjalankannya secara dalam talian.
Critics Choice Awards, yang dijadualkan pada Ahad depan, juga ditangguhkan.
#Hollywood #varian omicron #Grammy Awards ditangguh #CBS
;