#OlaBola topik nombor satu Twitter, netizen rai hari tayangan pertama
Nizam Bakeri
Januari 28, 2016 17:51 MYT
Januari 28, 2016 17:51 MYT
Bermula jam 12 tengah malam sehingga saat artikel ini dikarang, hashtag #OlaBola yang meraikan filem terbaharu terbitan Astro Shaw itu masih lagi menduduki tangga pertama bagi topik paling trending di Twitter.
Ola Bola merupakan filem fiksyen yang diinspirasikan oleh kegemilangan skuad bola sepak tempatan pada dekad 80-an dab bakal memulakan tayangan di seluruh negara hari ini.
Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak sabar untuk menonton filem arahan Chiu Keng Guan yang sebelum ini tampil dengan filem The Journey yang mencatat rekod filem tempatan dengan kutipan tertinggi sebelum dipintas satu lagi filem terbitan Astro Shaw, Polis Evo.
Beberapa netizen turut mengaitkan filem tersebut dengan harapan mereka untuk menyaksikan perkembangan sukan bola sepak tempatan yang lebih baik seperti yang pernah dikecap dalam era 70-an dan 80-an yang menjadi tema utama filem berkenaan.
Ulasan positif dan pujian turut dikongsi oleh pengguna Twitter yang telah berkesempatan menonton Ola Bola lebih awal misalnya pada Malam Gala Ola Bola yang berlangsung Sabtu lalu.
Ola Bola dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee.