OlaBola The Musical: 5 sebab anda tidak mahu keluar panggung!
Madiha Abdullah
Februari 8, 2018 21:02 MYT
Februari 8, 2018 21:02 MYT
PEMENTASAN teater, OlaBola The Musical mula menaiki 'takhta' Panggung Sari di Istana Budaya malam ini.
Penulis bersama teman-teman media yang lain telah dijemput menjadi antara yang pertama untuk menyaksikan adaptasi filem pecah panggung 2016 hasil karya Chiu Keng Guan ini.
Secara ringkas, ia menepati tagline yang dibawa, 'Luar Biasa'.
Biarpun ada beberapa isu teknikal, namun penulis berasakan ia tidak lebih sekadar first day jitters yang mungkin tidak dapat dielakkan dalam mana-mana pementasan sebelum hari pembukaan.
Football sequences
Paling mengagumkan adalah babak perlawanan bola sepak dalam pementasan ini.
Setiap kali babak terbabit muncul, penulis terasa seperti mahu menahan nafas kerana bimbang jika bola yang disepak pelakon tidak kena pada sasaran yang sepatutnya.
Permainan bola sepak sukar dijangkakan dan mahu mengawal bola juga bukan senang.
Ini satu cabaran besar kerana tiada reshoot dalam pementasan teater. Ya, mereka menggunakan bola sebenar dan kesemua pelakon berjaya menunjukkan skil mereka bermain bola sepak.
Jelas, latihan yang sangat intensif dilakukan mereka untuk memastikan babak-babak perlawanan terhasil dengan sempurna.
Kesan khas/grafik
Masuk sahaja ke Panggung Sari sudah terasa atmosfera seolah-olah berada di stadium.
Adrenalin sebuah perlawanan bola sepak direalisasikan dengan bantuan visual yang dipancarkan menerusi tiga LED besar.
Tidak ketinggalan, penggunaan pemetaan lantai digital dan visual animasi menarik sepanjang pementasan. Safe to say, penonton bukan lagi di Istana Budaya tapi di Stadium Merdeka!
Babak santai dan witty lines
Ketika diterbitkan, filem Ola Bola disifatkan lambang penyatuan rakyat Malaysia dan ia dilakukan dengan cara yang cukup santai menerusi babak-babak dan dialog yang diucapkan.
Melihat elemen itu dikekalkan dalam versi teater, merupakan satu kelegaan. OlaBola The Musical menterjemahkan apa itu Malaysia dan masyarakatnya dengan babak dan dialog yang melucukan dan kadangkala sinis, namun dengan mesej 'that's Malaysia'.
Antara satu babak yang mengesankan ialah di warung Mr Wong ketika Harimau Malaya mengalami kekalahan dan orang kampung mula menunjukkan reaksi tipikal setiap kali pasukan negara tewas dalam mana-mana perlawanan.
Keunikan muzik dan koreografi
OlaBola The Musical disertai who's who bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi juga dalam bidang tarian dan muzik.
Justeru, tidak hairanlah ia menampilkan koreografi terbaik dengan susunan muzik yang kemas. Lagu-lagu yang dinyanyikan juga sangat catchy dan senang diingati.
Paling penting, setiap bait yang dinyanyikan cukup kena dengan penceritaan setiap babak. Percaya atau tidak, selepas sehari, lagu I Cover You yang dinyanyikan dalam salah satu babak, masih terngiang-ngiang di telinga penulis!
Lakonan
Baik pemain watak besar atau kecil, masing-masing melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Pujian buat Iedil Putra yang berjaya lari dari aura Bront Palarae sebagai pengulas sukan (Rahman) malah penulis langsung tidak terfikirkan Bront sepanjang pementasan.
Luqman Hafidz walaupun adakalanya nampak sedikit kekok, mungkin kerana baru pertama kali di pentas teater, namun tidak mungkin ada pelakon lain yang mampu menterjemah Ali sebaik yang dilakukannya.
Watak Tauke pula dibawa dengan cemerlang oleh Brian Chan dalam gaya dan cara tersendiri, Spiderman Muthu di tangan Abimanyu Masilamany juga tidak mengecewakan dan Lim Jian Wen tetap mencuit hati sebagai Ong Tiam Chai.
Tidak dilupakan Nave VJ, yang membawa watak Appa kepada Muthu, yang tidak se'loud' Appa dalam filem, namun emosi kecewanya jelas dalam setiap ungkapan dialognya.
Kredit juga harus diberikan kepada Douglas Lim sebagai Mr Wong dan Nasz Sally sebagai Cik Kiah yang berjaya membuat penonton tidak kering gusi dari awal kemunculan sehingga akhir.
Rating: Empat bintang. Wajib tonton!
#Abimanyu Masilamany
#Brian Chan
#Douglas Lim
#filem
#hiburan
#Iedil Putra
#Istana Budaya
#Lim Jian Wen
#Luqman Hafidz
#Nasz Sally
#Nave VJ
#olabola the musical
#pementasan
#teater
#Tiara Jacquelina