'OlaBola bukan sekadar filem bola sepak' - Pengarah

Tan Su Lin
Januari 24, 2016 11:25 MYT
Filem OlaBola yang berkisarkan zaman kegemilangan bola sepak negara pada 1980-an mampu menyentuh serta menyelami perasaan penonton.
Bukan sekadar filem bola sepak. Pengarah "OlaBola", Chiu Keng Guan, menyifatkan filem terbitan Astro Shaw itu memaparkan semangat kekitaan rakyat Malaysia.
Ia yang berkisarkan zaman kegemilangan bola sepak negara pada 1980-an mampu menyentuh serta menyelami perasaan penonton.
"Ini kisah mengenai Malaysia dan rakyat Malaysia yang berbangga dengan pasukan bola sepak negara. Anda akan rasa seperti kembali ke 1980-an, menerusi penampilan dan gaya ketika itu.
"Kami juga membina fun fair dan melakukan penggambaran di Stadium Merdeka. Banyak grafik komputer yang digunakan, jadi anda akan betul-betul rasa seperti dalam era 1980-an," kata Chiu yang pernah mengarah filem box-office "The Journey" ketika ditemui pada malam gala filem OlaBola di GSC Pavillion di sini baru-baru ini.
Yang menariknya, Chiu merupakan bekas pemain bola sepak ketika dibangku sekolah.
Menyentuh filem OlaBola, ia dibarisi pelakon muka baharu di mana mereka bukan sahaja perlu mengikuti kelas berlakon tetapi latihan bola selama tiga bulan sebelum penggambaran dimulakan.
Luqman Hafidz yang memegang watak "Ali", menghabiskan masa mengkaji teknik serta taktik permainan bola sepak di laman YouTube sebagai persediaan filem itu.
"Awal-awal banyak persiapan saya lakukan. Seperti untuk casting saya melihat di internet untuk cara bagaimana hendak berlakon. Akhirnya saya tengok (pelakon Bollywood) Shah Rukh Khan dan cuba apply apa yang saya pelajari.
"Tetapi kebanyakannya, saya melihat YouTube untuk tengok bagaimana pemain-pemain dahulu bermain bola," katanya yang turut ditemui pada malam gala itu.
BACA: 'OlaBola' semarakkan kegemilangan bola sepak negara
Sementara itu, Saran Kumar Manokaran yang pertama kali berlakon filem, diberikan peranan memegang watak penjaga gol "Muthu".
"Sebenarnya saya bermain sebagai pertahanan. Saya telah bermain bola sepak sejak usia lapan tahun tetapi apabila pengarah (Chiu) meminta saya berlakon sebagai penjaga gol, saya bertanya bagaimana hendak menjadi penjaga gol kerana saya tiada pengalaman.
"Dia memberitahu jangan risau kerana saya akan diberi latihan peribadi untuk tiga bulan untuk menjadi penjaga gol. Hari pertama saya berlatih, seluruh badan saya sakit dan saya terpaksa ambil cuti sakit tiga hari kemudiannya," katanya.
Filem OlaBola bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Januari ini.
Antara barisan pelakon yang turut membintangi filem itu termasuk Bront Palarae, JC Chee, Marianne Tan dan Frankie Lee.
OlaBola merupakan filem Malaysia pertama yang menggunakan kesan bunyi Dolby Atmos.
#Astro Shaw #Chiu Keng Guan #filem bola sepak #harimau Malaya #Luqman Hafidz #Ola Bola #OlaBola #Saran Kumar
;