Oddie Agam pencipta lagu Antara Anyer dan Jakarta kritikal, kini dirawat di ICU
Astro Awani
Oktober 7, 2021 17:08 MYT
Oktober 7, 2021 17:08 MYT
JAKARTA: Komposer tersohor Indonesia, Oddie Agam dilaporkan sedang kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di negara itu.
Oddie yang berusia 69 tahun sangat masyhur sebagai pencipta lagu Antara Anyer dan Jakarta nyanyian penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Sheila Majid serta lagu Surat Cinta yang dimasyhurkan oleh Vina Panduwinata dari Indonesia.
Berita Oddie dirawat di ICU juga dikongsi oleh Sheila dalam hantaran di InstaStory beliau.
Oddie juga pernah dilaporkan mengalami angin ahmar (stroke) beberapa tahun lalu, namun, kembali pulih selepas menjalani rawatan.
Karyawan muzik yang sangat disegani ramai itu dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesesakan nafas.
Keadaan beliau juga makin kritikal ekoran batuk berpanjangan selain buah pinggangnya juga dilaporkan sudah tidak berfungsi dengan elok.
Sekalipun, Oddie hanya popular dengan kerja-kerja di sebalik tabir, namun, beliau kekal sebagai seorang seniman yang dihormati dalam kalangan penggiat seni Indonesia selain banyak lagu ciptaannya sering dirakam semula oleh penyanyi generasi baharu.