Nur Fatima Aisya nama pilihan buat cahaya mata Fazura, Fattah
Hasimi Muhamad
Oktober 9, 2020 16:45 MYT
Oktober 9, 2020 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Genap usianya tujuh hari, pasangan pelakon popular, Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin mengumumkan nama puteri kesayangan mereka, Nur Fatima Aisya.
Perkara itu dikongsi pasangan artis romantik itu menerusi kemas kini di laman Instagram fattzuralovelife, hari ini.
Dalam entri yang sama, sebuah rakaman video turut dimuat naik memaparkan Fazura, 37, sedang mendukung bayi perempuannya itu.
“Assalamualaikum. Hari ini genap tujuh hari saya dilahirkan pada Jumaar, 2 Oktober 2020.
“Nama saya ialah Nur Fatima Aisya Binti Abdul Fattah. Fatima berusia seminggu hari ini tetapi ‘daddy’ dan ‘mommy’ kata Fatima masih muda sangat lagi untuk media sosial.
“Tetapi Fatima tahu, ramai yang selalu doakan Fatima. Fatima syukur sangat kepada ‘aunties’ dan ‘uncles’ semua,” demikian menurut entri tersebut, pada Jumaat.
Selain itu, kenyataan di entri tersebut turut menzahirkan ucapan terima kasih, selain memberi bayangan bahawa Fazura dan Fattah akan memperkenalkan bayinya itu kepada umum apabila mereka sudah bersedia.
Setakat ini rakaman video tersebut telah mendapat tontonan lebih 34,000 pengguna Instagram.
Rata-rata memuji nama bayi pasangan itu, selain mendoakan kesihatan mereka.
Pelakon filem Dendam Pontianak itu selamat melahirkan bayi sulungnya di sebuah pusat perubatan swasta, pada 2 Oktober lalu.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 selepas dipertemukan dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella.
#Fazura selamat lahir anak perempuan
#Pelakon filem Dendam Pontianak
#Nur Fatima Aisya
#nama anak fazura
#Fattah Amin
#cahaya mata