Nuha, Aman, Ewal, Firman, Adel ke pentas akhir Akademi Fantasia 2014

Azyyati Ahmad
November 2, 2014 00:28 MYT
Adel, Nuha, Ewal, Aman, dan Firman - lima finalis pentas akhir AF2014.
Lima pelajar Akademi Fantasia 2014 (AF2014) iaitu Nuha, Aman, Ewal, Firman dan Adel diumumkan layak ke pentas akhir AF2014 yang akan diadakan minggu hadapan.
Adel yang tersingkir pada konsert ketujuh telah diserap masuk oleh barisan guru fakulti AF2014 yang diketuai oleh pengetua Datuk Hattan untuk menyertai konsert akhir AF2014.
Manakala, pelajar yang sering mendapat undian tertinggi pada setiap konsert, Azwan, menjadi pelajar terakhir disingkir di AF2014.
Azwan, atau nama sebenarnya Azwan Satar, 30, yang mendendangkan lagu ‘Cinta Sesungguhnya’ nyanyian asal Sabhi Sadhi serta sebuah lagu duet 'Tanda Kasih' bersama penyanyi kegemarannya Noraniza Idris, kurang mendapat tempat di hati pengundi pada konsert separuh akhir sebentar tadi.
Selain Azwan, pelajar lain juga diberi peluang berduet dengan artis terkenal tanah air seperti Adira, Noraniza Idris, Joey BPR, Masya Ceria Popstar dan Mus May.
Turut diundang ke konsert separuh akhir AF2014 ini ialah penyanyi Fauziah Latiff sebagai juri jemputan bersama juri tetap, Datuk Ramli MS dan Raja Azura.
Pembukaan konsert kali ini dimeriahkan dengan persembahan daripada raja gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau.
Penonton juga dihiburkan dengan persembahan dari beberapa penyanyi popular seperti Black dan RJ, Rahmad Mega, dan Nizam Laksamana dengan lagu-lagu hit mereka.
#Adel #AF2014 #Akademi Fantasia 2014 #aman #Ewal #Firman #Nuha
;