Nourul Wahab luah rasa seperti dipinggirkan anak, Ajai: "Sebagai bapa saya pujuk Ayu..."

Gempak
September 15, 2023 08:15 MYT
Ajai enggan masuk campur mengenai perselisihan faham di antara bekas isterinya, Nourul Wahab dan anak gadis mereka, Ayu Nazirah.
KOMPOSER dan penyanyi Ajai memberitahu enggan masuk campur mengenai perselisihan faham di antara bekas isterinya, Nourul Wahab dan anak gadis hasil perkahwinan mereka dahulu, Ayu Nazirah.
Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas juga berharap perkara tersebut tidak diperbesarkan kerana menyifatkan perselisihan faham di antara ibu dan anak adalah perkara biasa.
Perselisihan faham tersebut dikongsikan oleh Nourul menerusi hantaran di akaun Instagram milik penyanyi lagu Kerana Terluka, baru-baru ini.
Nourul menerusi perkongsiannya memberi bayangan seperti berkecil hati dengan tindakan anaknya, Ayu tanpa memperincikan butiran perselisihan faham yang tercetus.
“Daripada saya itu adalah hal peribadi di antara ibu dengan anak. Merajuk (Nourul dan Ayu) itu sebenarnya sudah biasa sangat.
“Saya kira itu perkara standard (perselisihan faham) antara ibu dan anak.
“Biasalah kalau Ayu bergaduh dengan maknya, dia akan mengadu kepada saya. Kalau Ayu berselisih faham dengan saya, dia mengadu dengan maknya. Biasalah itu,” kata Ajai sewaktu ditemui pada majlis sidang media Exists X Orkestra di Hotel Tamu, Kuala Lumpur.
Ajai, 48, kemudian menjelas, sebagai bapa dia menasihati Ayu untuk berbaik dengan bekas isterinya.
“Sebagai bapa saya pujuk Ayu. Bila merajuk atau berselisih faham dengan mak, minta maaf. Kena hormat ibu kerana itu syurga kamu dan darah daging kamu,” tambahnya lagi.
Sementara itu Ajai juga menafikan status ibu baru yang dimaksudkan Nourul dalam hantaran tersebut bukan merujuk kepada isterinya sekarang, Liza Ilias.
“Bukan, dia bukan maksudkan isteri saya sekarang, Liza, bukan. Itu orang lain,” katanya lagi.
Terdahulu Nourul berkongsi foto dirinya sedang hamil dan menceritakan kronologi sebelum melahirkan anaknya sekitar 23 tahun lalu sehingga kini seperti terasa hati kerana anaknya didakwa seakan meminggirkannya dan telah mempunyai ‘ibu baharu’. - Gempak
#Nourul Wahab #Ajai #selisih faham #Ayu Nazirah
;