#NoToLanun: Muat naik secara haram? Anda sedang diperhatikan! - Finas
Hasimi Muhamad
Mac 14, 2021 14:13 MYT
Mac 14, 2021 14:13 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah mengenal pasti individu-individu yang terlibat dengan kerja penyalinan karya secara haram serta dalang di sebalik aktiviti cetak rompak.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, aktiviti membanteras kegiatan lanun cetak rompak itu dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa dan beberapa agensi berkaitan secara lebih agresif.
Hasil siasatan, Ahmad Idham berkata pihaknya telah berjaya mengesan sumber dan lokasi tempat tinggal individu yang terbabit termasuk aktiviti memuat naik dan berkongsi di laman sosial.
Jelas beliau lagi, sekiranya perkara itu semakin berleluasa, pihaknya tidak teragak-agak untuk mendedahkan maklumat penuh berhubung individu serta laman sesawang yang terlibat.
"Nanti apabila saya melancarkan (Program Banteras), saya akan dedahkan (kegiatan tersebut) dan beberapa blog haram.
"Kita tahu (kewujudan) blog-blog haram itu kerana di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ada Finas, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kami boleh tahu komputer mana yang memuat turun dan sejauh mana kita boleh pergi secara lebih terperinci.
"Teknologi ini bukan hanya Finas, tetapi kita gabung dengan beberapa agensi lain, kerana itu kita boleh selesai salah satu kes (cetak rompak) di laman e-dagang. Kita juga pernah pergi ke rumah (individu berkenaan) untuk isu Telegram, dan hari ini kita telah bekerjasama dengan YouTube," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Idham yang juga penerbit filem dan pelakon berkata Finas memandang serius kes cetak rompak yang semakin berleluasa termasuk dalam bentuk fizikal dan digital.
Katanya, modus operandi yang digunakan oleh 'perompak' karya seni negara telah beralih kepada kaedah baharu termasuk menggunakan platform e-dagang.
Malah, terdapat golongan muda yang dikesan memuat naik produk cetak rompak bagi tujuan meraih penonton.
"Mereka tidak tahu itu boleh meruntuhkan struktur ekonomi industri kreatif kerana penyaluran ekonomi tidak berlaku dan menyebabkan penggiat-penggiat seni kena gulung tikar dan industri ditutup.
"Inilah betapa seriusnya aktiviti cetak rompak, lebih-lebih lagi anak muda yang ramai bergelumang dalam aktiviti begini. Jadi itu yang kita rasakan bagaimana perkara ini boleh diatasi?," ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Program Banteras secara besar-besaran akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
Selain undang-undang yang lebih ketat melalui Akta FINAS 1981 (Akta 244) di bawah Seksyen 22 (1), Ahmad Idham menambah kesedaran orang ramai amat penting untuk bersama-sama mengatasi kegiatan cetak rompak digital.
Sebelum ini, Finas turut menubuhkan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak dalam usaha memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta FINAS 1981 (Akta 244).
Jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 25(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM 50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.
#MCMC
#FINAS
#YouTube
#Cetak rompak
#no to lanun
#Kegiatan cetak rompak
#industri seni kreatif
#Ahmad Idham
#Bongkar dalang cetak rompak
#StopPiracyLah