#NoToLanun: Cetak rompak jejas kualiti karya tempatan - Aziz M Osman
Nursyazwani Saiful Sham
April 20, 2021 12:09 MYT
April 20, 2021 12:09 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya selepas beberapa hari ditayangkan, filem '18 Puasa di Kampong Pisang' dicetak rompak dan ditayangkan secara haram menerusi platform media sosial.
Sehubungan itu, pelakon Aziz M Osman menegaskan, kesedaran terhadap implikasi cetak rompak ini perlu diperluaskan.
Ini kerana, jelasnya, ia akan menjejaskan prestasi sesuatu produksi untuk menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti.
"Cetak rompak ini sudah berlaku sejak berpuluh tahun lalu melalui piring hitam, pita kaset dan sebagainya. Namun apa yang perlu kita semua lakukan adalah memastikan kesedaran itu terus tersebar.
"Ia (cetak rompak) akan menjejaskan periuk nasi kami yang sekali gus akan menjejaskan kualiti indusri perfileman, muzik dan sebagainya, secara keseluruhannya.
"Kita asyik pertikaikan mengapa kualiti hasil karya tempatan tidak sampai tahap antarabangsa. Macamana nak sampai, sedangkan kita tidak dapat imbuhan yang sewajarnya?" soalnya menerusi program AWANI Pagi segmen Selebriti Selasa.
AWANI Pagi: Kisah Di Sebalik '18 Puasa di Kampong Pisang'
Jelas Aziz lagi, untuk menghasilkan karya yang berkualiti melibatkan pelakon dan pengarah yang hebat, ia memerlukan bajet yag lebih besar.
Sebaliknya, bajet yang rendah akan menjejaskan proses pembikinan sesebuah karya tempatan.
Setakat ini, filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara tersohor Mamat Khalid berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh tiga hari pertama ditayangkan.
Filem itu ditayangkan bermula 15 April lalu di platfrom Astro First, saluran 480.
Sementara itu, menurut seorang lagi pelakon filem itu, Ahmad Ibrahim, filem gabungan ‘masterpiece’ terdahulu Mamat Khalid, iaitu Kampong Pisang, 16 Puasa dan 17 Puasa itu, menampilkan pendekatan Islamik.
“Mesej tersurat dan tersirat dalam filem ini sangat ketara. Intipati yang ditonjolkan Mamat Khalid sebenarnya adalah pendekatan Islamik yang jarang sekali distrukturkan dalam filem seperti ini.
“Ia mengikut selera, dan ada unsur komedi, tetapi masih menerapkan pendekatan Islamik. Ini adalah contoh dan tauladan yang perlu diketengahkan.
“Dalam menyampaikan pendekatan Islam ini kita tidak boleh serius, mesti anda unsur komedi, sinis dan sarkastik. Kalau tidak, orang tidak mahu tonton.
"Kesedaran ini harus diikuti yang lain,” katanya, yang juga dikenali sebagai Mat London.
Saksikan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang kini berada di pawagam rumah anda, Astro First.
Untuk melanggan, sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (dua hari) secara berulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.
#Ramadan
#puasa
#filem
#18 Puasa Di Kampong Pisang
#mat london
#implikasi
#Cetak rompak
#Aziz M Osman
#imbuhan
#industri perfileman
#Astro First
#media sosial
#bajet
#Mamat Khalid
#Ahmad Ibrahim