Nota air mata Noraniza Idris buat anaknya

Astro Awani
Disember 28, 2018 12:12 MYT
NORANIZA IDRIS memeluk Mohd Aliff Haiqal pada majlis akad nikah anaknya baru-baru ini. - Gambar Instagram Noraniza Idris
KASIH dan sayang seorang ibu terhadap anak-anak melebihi diri mereka sendiri. Anak-anak adalah keutamaan dalam hidup mereka.
Lalu, apabila sampai masa seorang anak itu mendirikan rumah tangga, seorang ibu itu tidak mampu menyembunyikan rasa sedih mereka kerana anak yang dikandung dan ditatang harus memulakan hidup baharu.
Demikian juga yang dilalui penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris yang tidak mampu menyembunyikan kesayuannya apabila anak sulungnya, Mohd Aliff Haiqal Mohd Fauzi, 26, selamat mendirikan rumah tangga baru-baru ini.
Luahan hati Noraniza dalam laman sosial Instagram peribadinya semalam benar-benar menyentuh hati netizen.
Dalam kenyataan yang dimuat naik, Noraniza, 50, memohon maaf pada Aliff seandainya selama ini dia tidak menjadi seorang ibu yang sempurna.
"Jika duka yang kau jumpa, kembalilah kepada Allah. Jika suka yang kau jumpa, bersyukurlah. Doa sentiasa mengiringimu Aliff. Maafkan kerana mama bukanlah mama yang sempurna untukmu.
"Sesungguhnya, sedari awal telah mama halalkan segala urusanmu... teruskanlah perjalananmu dengan tenang dan penuh kasih sayang," tulis Noraniza yang turut menyebabkan netizen tersentuh hati.
Penyanyi lagu Awallah Dondang itu turut menyingkap momen-momen manis ketika menerima kehadiran Aliff dalam hidupnya.
"Pertama kali mendengar tangismu, hilang segala kesakitan melahirkanmu maka bermulalah tawa tangis mama penuh rasa keibuan.
"Masa berlalu pantas dan kini mama menyaksikan Alif berdiri depan pintu gerbang kehidupan baru. Bagai bicara Luqman Al Hakim dalam surah Luqman dalam al Quran, hidup umpama laut. Dalamnya tak terduga, isinya penuh pancaroba," ujar Noraniza lagi.
Sebagai ibu, Noraniza turut berpesan pada Aliff agar menjadi seorang ketua keluarga yang dapat membimbing isteri selain menghormati keluarga.
"Alif anakku, kau adalah ketua keluarga maka bimbinglah isterimu, bakal ibu kepada anak-anakmu. Hormati mertuamu, ipar dan saudara semendamu dan keluargamu sendiri," kata Noraniza.
Aliff dan Ezza Nafiesha Zakaria disatukan sebagai suami isteri di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu.
Aliff merupakan anak sulung Noraniza bersama bekas suaminya, Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau lebih dikenali sebagai Fareez.
Mereka juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Alfeeq Haiqal Mohd Fauzi, 25.
#Awallah Dondang #berkahwin #Instagram #Mohd Aliff Haiqal Mohd Fauz #Noraniza Idris #penyanyi irama tradisional
;