Nostalgia 'Ikhlas' 1992 di pentas KL JAMM

Eka Roslee
Januari 9, 2019 22:49 MYT
NORMAN Abdul Halim tidak menafikan penyatuan kembali Sheila Majid, Afdlin Shauki dan Zainal Abidin untuk mengimbau kembali kenangan konsert Ikhlas penuh nostalgia pada tahun 1992 - Foto @kl.jamm
MENGGAMIT nostalgia zaman penyatuan legenda seni suara tanah air di atas satu pentas, Music Unlimited International Snd Bhd (MUI) dengan kerjasama Syarikat Produksi KRU mengumumkan barisan artis yang bakal memeriahkan festival muzik antarabangsa, KL JAMM.
Menurut Pengarah festival KL JAMM, Datuk Norman Abdul Halim, tidak dinafikan penyatuan kembali Datuk Sheila Majid, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Zainal Abidin di atas satu pentas adalah untuk mengimbau kembali kenangan konsert ‘Ikhlas’ penuh nostalgia pada tahun 1992 sebagai Re-Jamm.
“Saya rasa satu konsep yang saya jangka dinantikan oleh semua kerana saya sendiri sebagai peminat sudah lama menantikan tapi apa yang kita buat kita kan bekerjasama dengan syarikat warner music di mana pemilik lagu tersebut bersama-sama meraikan sejarah yang tak mungkin kita lupakan dan kita hidupkan momen tersebut melalui Re-Jamm,” katanya pada sidang media pengumuman barisan artis yang bakal menjayakan konsert ini pada Rabu.
KL JAMM bakal diadakan pada 26 April hingga 28 April 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) menampilkan beberapa artis tanah air lain seperti Zamani SLAM, OAG, Datuk Ramli Sarip, Amelina dan ramai lagi.
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi www.kljamm.com dengan harga bermula dari RM 98.
#2019 #afslin shauki #Amelina #KL JAMM #KL Live #kru #Kuala Lumpur #MITEC #muzik #nostalgia #OAG #Ramli Sarip #sheila majid #Zainal Abidin #Zamani Slam
;