Noryn, Rizal bersatu dalam suasana norma baharu

Saharudin Musthafa
Oktober 14, 2020 13:33 MYT
Noryn Aziz dan Shaik Rizal melangsungkan pernikahan mereka di Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa malam.
KUALA LUMPUR: Tidak pernah sama sekali Noryn Aziz menyangka perkenalan sebagai rakan perniagaan dengan Shaik Rizal Shaik Sulaiman akhirnya membawa mereka berdua ke alam rumah tangga.
Bahkan, sejak berkenalan awal tahun ini, tidak pula tercetus sebarang perasaan kasih atau sayang dalam diri mereka.
Cuma, barangkali, kerana sering berjumpa dan berbincang soal perniagaan, perasaan yang tidak disangka itu akhirnya bertukar menjadi sebaliknya.
“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih. Hubungan kami benar-benar profesional.
“Sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal menyenangkan saya. Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral kepada saya dalam urusan bisnes.
“Selepas beberapa bulan kami menjadi lebih akrab, banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya kami sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci,” kata Noryn berkongsi cerita pernikahannya dengan usahawan itu kepada Astro AWANI.
Seiring dengan niat dan keinginan mereka berdua untuk mahukan acara penyatuan dua hati itu berjalan dalam suasana yang sederhana dan disaksikan keluarga rapat serta sahabat terdekat, justeru majlis akad nikah Noryn dan Rizal berlangsung seperti yang dikehendaki.
Di kediaman Rizal di Damansara, di sini, pasangan berkenaan dinikahkan dengan jumlah kehadiran tetamu sekitar 30 orang sahaja.
Majlis berkenaan, kata juara Gegar Vaganza musim kelima itu diputuskan untuk diadakan dalam tempoh kurang 24 jam ekoran keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Berdasarkan jadual asal, Noryn dan Rizal hanya akan melangsungkan akad nikah pada 25 Oktober ini.
“Kurang 24 jam saya dan Rizal buat keputusan untuk bernikah. Segala-gala persiapan dilakukan dengan sepantas yang mungkin. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah,” jelas Noryn.
BACA: Noryn Aziz selamat diijabkabul
Dalam majlis akad nikah itu, Noryn, 44, menerima sebentuk cincin daripada Rizal, 48, sebagai mas kahwin.
Bagi Noryn, kesederhanaan majlis itu memberi makna yang cukup besar buat dia dan suaminya.
“Allah telah atur dengan baik untuk saya dan Rizal. Ada masanya, kita merancang untuk buat hal yang besar, namun kalaui Allah tidak izinkan, itu tidak berlaku juga.
“Saya gembira kerana keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat bersama-sama kami dalam majlis itu, Ia amat memberi makna buat kami,” ujar Noryn lagi.
Sependapat dengan isterinya, Rizal pula berkata, apa yang paling utama buat beliau dan Noryn ialah majlis pernikahan mereka mendapat restu keluarga dan rakan-rakan.
Sebagai ketua keluarga, Rizal berikrar untuk membahagiakan isterinya kerana itu tanggungjawab yang dipikulnya sebaik akad dilafazkan malam tadi.
Dalam masa sama, Rizal berjanji tidak akan menyekat Noryn daripada meneruskan kerjaya seninya.
“Sebagai suami, selain memelihara kebajikan isteri, saya tidak akan halang Noryn untuk meneruskan kerjaya seninya. Saya percaya, Noryn sudah bijak dan matang untuk menguruskan rumah tangga dan kerjaya dengan sebaiknya,” kata Rizal lagi.
#Noryn Aziz #Shaik Rizal Shaik Sulaiman #bernikah #norma baharu
;