Norman KRU: Industri hiburan negara akan musnah
Astro Awani
April 30, 2013 12:41 MYT
April 30, 2013 12:41 MYT
Penerbit album Norman Abdul Halim tetap mempertahankan kenyataannya menerusi Twitter dengan mendakwa industri hiburan negara ini akan hancur jika Pakatan Rakyat (PR) termasuklah PAS memerintah selepas Pilihan raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.
Norman berkata, tujuan dia menulis perkara itu adalah untuk membolehkan masyarakat membuka mata untuk melihat kelemahan PR dengan memberikan pendapat dalam Twitter berkenaan.
"Dengan kenyataan yang diberi, saya menerima banyak kritikan tetapi apa yang saya cakapkan sebenarnya adalah fakta, bukannya suka-suka atau mahu menakut-nakutkan orang.
"Jangan lihat industri seni ini pada satu sudut tertentu, lihat pada keseluruhannya. Perlu diingat industri kreatif berkembang dan ia sekali gus meningkatkan ekonomi negara.
"Apabila saya kata industri hancur jika PAS memegang negara adalah kerana tumpuan parti itu lebih untuk menjadi kerajaan khusus untuk Islam dan Melayu.
"Dengan dasar PAS yang sebelum ini sering menolak industri kreatif menerusi pengharaman pawagam di Kelantan dan Terengganu, ia sedikit sebanyak menghilangkan sebahagian sumbangan kepada ekonomi kita," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Dalam Twitter miliknya Ahad lalu Norman antara lain turut berkata pengeluaran filem dan muzik antarabangsa juga akan turut terjejas.
Komen Norman itu mendapat kritikan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut termasuklah penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyifatkan pandangan berkenaan sebagai cetek.
Norman yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, kelemahan PAS dapat dilihat berpandukan kepada isu-isu sebelum ini apabila pelbagai konsert telah diharamkan dan ia sekali gus menyekat perkembangan industri seni negara.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komen yang diberikan di Twitter bukan kerana mahu mengkritik mana-mana individu tertentu, sebaliknya dasar kepimpinan parti PAS.
"Orang yang tidak rasional sahaja yang tidak boleh menerima kenyataan saya itu. Lagipun saya cakap pun secara hormat dengan meminta maaf terlebih dahulu sebelum berkata-kata.
"Jangan salah ertikan maksud saya. Saya seorang beragama Islam tetapi bukan agama PAS," tegasnya.