Normal baharu: Sambut Ramadan semasa PKP, pengalaman akan dikongsikan untuk anak cucu - Hael Husaini
Asyraf Roslan
April 25, 2020 17:09 MYT
April 25, 2020 17:09 MYT
Ramadan kali ini mungkin berbeza buat semua rakyat Malaysia.
Ini kerana Ramadan tahun ini tiba disaat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat sebagai satu normal baharu untuk semua masyarakat di Malaysia terutamanya umat Islam.
Perkara tersebut juga sudah tentu turut dirasai oleh penyanyi yang popular dengan lagu Hati, Hael Husaini.
Baginya berpuasa pada tempoh PKP ini merupakan satu pengalaman baharu yang harus diterima oleh rakyat Malaysia.
"Ini merupakan fasa baharu yang kita semua perlu terima, dan sekiranya kita semua berjaya melawan wabak ini pastinya kita akan mengingatinya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Baginya pengalaman ini mungkin akan menjadi satu cerita buatnya untuk dikongsikan bersama dengan anak atau cucunya satu hari nanti.
Pada masa sama, Hael beranggapan meskipun tahun ini agak berbeza namun rakyat masih mempunyai sumber digital untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia.
Istimewa untuk bulan Ramadan, Hael Husaini muncul dengan lagu baharu berjudul Senyum Ramadan.
Mengambil masa dalam satu hari sahaja untuk mencipta lagu ini, Hael berkata lagu tersebut memberi mesej positif dengan mengajak semua rakyat Malaysia untuk mengukir senyuman meskipun negara kita sedang dilanda wabak COVID-19.
#coronavirus
#COVID-19
#Hael Husaini
#Ilham Ramadan
#Indahkan Senyuman
#koronavirus
#normal baharu
#Senyum Ramadan