Normal Baharu: Naim Daniel teruskan rakaman program masakan tanpa krew
Asyraf Roslan
April 28, 2020 18:00 MYT
April 28, 2020 18:00 MYT
Dapat meluangkan masa bersama keluarga merupakan saat yang paling bermakna buat sesiapapun lebih-lebih lagi semasa menjalani ibadah puasa.
Sudah tentu perkara ini sangat dinanti-nantikan oleh mereka yang bekerja.
Bagi penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 23, beliau mengakui teruja untuk menyambut bulan puasa pada tahun ini meskipun ia disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya sangat teruja meskipun sambut semasa PKP berkuat kuasa, kerana pada tahun ini saya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.
"Jika puasa pada tahun-tahun sebelumnya, saya banyak menghabiskan masa dengan menghadiri majlis dan juga persembahan tapi tahun ini dapat bersama mereka saya sangat bersyukur," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Pada masa sama, beliau juga mengakui sedih kerana tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak yatim seperti tahun-tahun sebelumnya.
Namun demi kebaikan semua, beliau akur untuk tetap melakukan semua kerja di rumah.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah ini juga hadir dengan rancangan masakan di platform digital Astro Gempak, Iftar ala King musim kedua sempena bulan Ramadan.
Jika dahulu Naim merakamkan setiap episod bersama dengan krew produksi tetapi kali ini Naim harus menjalankan penggambaran bagi program masakannya itu di rumahnya sendiri.
"Perubahan ketara, sebab kali ini saya dan kakak saya harus melakukannya sendiri dan pastikan semuanya sempurna, dan apa yang lebih menarik untuk musim kali ini saya bawakan banyak menu baharu untuk semua penonton cuba pada bulan Ramadan," katanya.
Lebih mencabar, Naim perlu segera mempelajari kaedah asas penggambaran, termasuk skil menentukan sudut kamera, pencahayaan, input audio dan juga kelancaran skrip.
Mula belajar masak bersama ibunya, pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu mengakui dia juga pernah melalui pengalaman yang layak menyertai khalayak "Masak apa tak jadi hari ini".
Nak tahu apa juadah yang Naim Daniel masak sehingga tidak jadi itu? Sila tonton perbualan penuh berikut: